Showing posts with label Tips. Show all posts
Showing posts with label Tips. Show all posts

Friday, January 18, 2019

January 18, 2019

TIPS PENJAGAAN UNTUK CISC (Clean intermittent self-catheterisation)

TIPS PENJAGAAN UNTUK CISC (Clean intermittent self-catheterisation)

  1. 1. Amalkan cuci tangan sebelum dan selepas membuang urin.
  2. 2. Kosongkan pundi kencing setiap 4 jam bagi mengelakkan komplikasi.
  3. 3. Hadkan pengambilan air sebanyak 500mls dalam 4 jam dan kurangkan pengambilan air pada waktu malam.
  4. Cara-cara CISC :
-  Cuci tangan sebelum melakukan CISC.
-  Cuci kemaluan dengan air bersih & keringkan.
- Sapukan gel dibahagian tiub untuk memudahkan kemasukan & mengurangkan kesakitan.
- Masukan tiub perlahan-lahan hingga urin keluar. Tunggu hingga urin habis keluar
- Setelah selesai, cabut tiub perlahan-lahan, cuci semula kemaluan.
- Cuci tangan dan semua peralatan, keringkandan simpan di tempat yang bersih.

Kredit: Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Hospital Sungai Buloh

Friday, October 19, 2018

October 19, 2018

TIPS UMRAH BERKERUSI RODA ORANG YANG MENGALAMI KECEDERAAN SARAF TUNJANG


Orang yang mengalami kecederaan saraf tunjang (spinal cord injury-SCI) masih boleh menunaikan ibadah umrah di tanah suci Mekah. Namun ia memerlukan persediaan dari aspek emosi dan fizikal yang berbeza dari orang biasa yang lain. Persediaan rapi perlu dilakukan sebelum bertolak lagi agar ibadah umrah anda dapat dilakukan dengan tenang dan sempurna.

Kami kemukakan beberapa tips dan saranan umrah berkerusi roda SCI.

MEMILIH PAKEJ UMRAH


Memilih pakej umrah bagi OKU/berkerusi roda adalah sangat penting kerana pihak Travel akan menentukan penginapan dan penerbangan kita ke Tanah Suci. Pemilihan hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi amat penting kerana ia melibatkan pergerakan fizikal seseorang untuk mengayuh kerusi roda sendiri atau orang yang membantu kita.

Membawa ahli keluarga bersama dapat membantu urusan transfer dari bas ke kerusi roda
Seeloknya bawalah pembantu yang terdiri daripada ahli keluarga atau rakan-rakan yang mempunyai fizikal yang kuat bagi membantu urusan kita ketika menunaikan umrah. Ini kerana dalam beberapa keadaan kita tidak mampu menguruskan diri sendiri seperti ketika menaiki Bas yang memerlukan pertolongan orang untuk membantu mengendong kita ke atas bas kerana tiada kemudahan lift Bas yang disediakan. Bagi jemaah wanita pula perlu membawa mahram di samping membantu memudahkan urusan transfer diri ketika di sana. 


Penting juga untuk berbincang dengan pakej umrah sekiranya boleh menyediakan transport yang bersesuaian agar memudahkan perjalanan. Namun adalah dinasihatkan untuk menyediakan wang lebih bagi persediaan untuk membayar upah tertentu sekiranya perlu untuk melancarkan perjalanan ibadah umrah.

Pakej umrah pula berbeza antara satu sama lain. Semakin dekat dengan masjid, semakin mahal harganya. Begitu juga dengan pakej bilik. Pakej bilik 2 orang lebih mahal berbanding bilik bertiga, berempat dan seterusnya. Pilihlah pakej yang selesa berdasarkan kemampuan kewangan anda
.

PERSEDIAAN PERUBATAN DAN KESIHATAN


Sebelum berangkat ke tanah suci anda sudah sepatutnya menyiapkan diri dengan memakan vitamin C bagi memastikan tahap kesihatan yang baik dan imunisasi yang kuat semasa menjani ibadah kerana sekiranya anda menjalani ibadah umrah pada hujung tahun contohnya, cuaca adalah sejuk dan berangin. Memakan vitamin C ini berdasarkan pengalaman penulis membantu dari segi kesihatan yang lebih stabil semasa di tanah suci. 

Pastikan anda menjaga kesihatan sebelum bertolak dan menunaikan umrah. Perlunya membawa bekalan perubatan yang secukupnya untuk ke tanah suci. Dua atau tiga hari sebelum bertolak, pergilah berjumpa doktor anda untuk nasihat perubatan. Minta doktor anda keluarkan satu surat rujukan ubat-ubatan sekiranya anda memang bergantung kepada ubatan yang banyak. Rujukan ubat-ubatan ini sebagai persediaan di Imegresen Arab Saudi supaya tidak menyukarkan anda sekiranya disoal oleh mereka kerana membawa ubatan yang banyak.

Tandas OKU berada di luar Masjid, terdapat perkhidmatan lift untuk ke sana.

Di Masjidil Haram, tandas agak jauh dan berada diluar masjid. Sekiranya anda ingin ke tandas pada waktu kemuncak, sudah tentu ia akan menyukarkan anda. Tambahan pula sekiranya sudah keluar dari masjid, memang agak sukar untuk masuk kembali ke dalam masjid. 

Kebiasaaanya 15-30 minit sebelum waktu azan, pengawal keselamatan sudah tidak membenarkan anda masuk lagi ke dalam masjid di tingkat bawah. Anda perlu mencari kawasan di tingkat 2 atau tiga atau anda perlu bersolat diluar kawasan masjid. Oleh yang demikian, kami nasihatkan anda menggunakan beg CBD atau dapatkan nasihat perubatan rehabilitasi dari hospital anda. Di nasihatkan juga untuk merancang rutin harian tandas anda sebelum ke masjid bagj memastikan ibadah kita tenang tanpa sebarang gangguan. Tapi jangan risau in shaaAllah kalau kita niat untuk melaksanakan ibadah Allah akan jaga kita dan in shaaAllah tak perlu risau tentang ke tandas.

Satu bulan sebelum menunaikan umrah, anda boleh membuat latihan fizikal dahulu untuk ketahanan anda ketika di Tanah Suci. Umrah berkerusi roda memerlukan tenaga dan ketahanan fizikal yang secukupnya. Latihan kayuhan berkerusi roda sebelum berangkat boleh membantu meningkatkan ketahanan anda ketika di sana. 

Sekiranya anda tidak mempunyai kudrat untuk mengayuh sendiri atau ahli keluarga tidak dapat membantu, anda boleh sediakan wang untuk membayar upah menyorong atau menggunakan kerusi roda elektrik untuk melaksanakan tawaf. Perkara ini boleh dibincang bersama dengan agen travel anda bagi memudahkan ibadah.

PERSEDIAAN PENYELENGGARAAN KERUSI RODA


Penyelenggaraan kerusi roda sebelum umrah amat penting. Pastikan kerusi roda anda berada pada tahap yang baik. Ketatkan mana-mana bahagian yang longgar. Tukar tayar lama anda sekiranya sudah tiada bunga. Bawalah beberapa peralatan sampingan seperti portable pam angin, spanar kecil dan seumpamanya.

 DI LAPANGAN TERBANG
Membalut kerusi roda dapat mengurangkan risiko kerosakan ketika berada di kargo

Kerusi roda perlu dibalut dan dimasukkan ke dalam kargo ketika 'check-in'. Gunakan kemudahan kerusi roda airport untuk bergerak ke 'boarding area'. Ketika check-in juga, minta petugas kaunter berikan tempat duduk dalam pesawat berhampiran tandas untuk memudahkan urusan buang air. Pramugari akan bantu anda untuk urusan itu. Untuk mudahkan anda, dapatkan khidmat pembantu (Tukang Tolak) ketika check-in. Dia akan terus bawa anda ke 'boarding area' dan terus ke dalam kabin. Jika transit, umpamanya dari KL- Jeddah, penerbangan Emirates, pasti akan transit di Dubai. Jadi tunjukkan 'boarding pass' di pintu luar kabin, akan ada orang menunggu untuk membawa mereka terus ke 'boarding' berikutnya ( Dubai-Jeddah)

Bila mendarat di Jeddah atau Madinah, akan ada pembantu yang akan menolak kerusi roda sementara anda kerana kerusi roda yang betul masih berada di kargo. Anda juga boleh meminta tolong ahli keluarga atau rakan-rakan untuk menolak anda sekiranya tidak selesa dengan petugas kapal terbang. Tapi kebiasaanya ahli keluarga atau rakan-rakan akan membantu membawa bagasi kita. Jadi gunakanlah perkhidmatan pembantu yang disediakan.

Ada kalanya perjalanan umrah kita juga diuji kerana kita travel secara berjemaah maka pentingnya kita bersabar dengan karenah-karenah jemaah dan banyakkan berzikir bagi membantu kelancaran perjalanan. Pastikan anda sentiasa memegang Pasport, Boarding Pas dan tahu apa nama travel agen serta nombor talian pegawai perhubungan. Sekiranya anda tersesat anda boleh pergi ke kaunter pertanyaan untuk meminta bantuan. Selain itu perlu juga ingat nama hotel samada di Madinah atau Mekah bagi sebarang kemungkinan sekiranya apa-apa berlaku semasa di perjalanan.


Jangan terlalu ghairah untuk membeli belah semasa transit kerana ingat tujuan asal adalah untuk beribadah. Ada masanya penerbangan akan stranded maka duit lebih perlu untuk belanja makan minum atau apa-apa kontingensi.

KETIKA MELAKUKAN UMRAH
Untuk melakukan tawaf, saie dan tahalul, terdapat 3 pilihan. 

Pertama, upah tukang sorong ( Deal sendiri atau bantuan mutawwif) dengan harga sekitar SR200- SR300 untuk semua urusan itu. Dia akan ambil anda di hotel, terus tawaf dan saie ‘ serta tahallul dan dihantar semula ke hotel. Anda boleh umrah ikut jemaah lain. 

Pilihan kedua, pengiring anda samaada ahli keluarga atau rakan-rakan membantu menolak kerusi roda anda. Perlu diingatkan, mereka juga perlukan tenaga dua kali ganda sekiranya menolak anda, tenaga mereka sendiri untuk bergerak dan tenaga untuk menolak kerusi roda anda. Bagi yang menggunakan kerusi roda manual, anda boleh bergilir-gilir tolak sendiri dan sekiranya letih, minta bantuan pengiring.

Pilihan ketiga, anda menolak sendiri dari tawaf, saie’ dan tahallul. Dari hotel ke Masjidil Haram kembali ke hotel semula. Di sini cabaran amat besar kerana laluan ke Masjidil Haram biasanya sesak. Memerlukan ketabahan mental dan fizikal. Untuk satu pusingan tawaf di tingkat atas adalah sekitar 1 KM dengan anggaran 10-15 minit setiap pusingan bergantung kepada kelajuan anda menolak dan kesesakan jemaah. 7 pusingan bersamaan 7 km untuk tawaf sahaja. Masa diperlukan untuk satu sesi tawaf 1 jam lebih. Tidak termasuk saie’ lagi 7 kali ulang alik Safa-marwah keselurahnnya sekitar 3.5 KM. Jadi, untuk satu sesi umrah berkeseluruhan 10KM lebih.

Oleh yang demikian, rancang perjalanan dan jimatkan tenaga anda atau pengiring. Kesihatan fizikal amat penting untuk anda juga pengiring. Sekiranya anda demam atau letih pada hari-hari pertama anda umrah, sudah pasti ia akan menjejaskan pergerakan untuk baki-baki hari anda di sana.

BAGAIMANA INGIN KE MASJID


Untuk solat 5 waktu, seeloknya pergi 1 jam sebelum setiap waktu solat untuk elak kesesakan. Anda boleh solat di tingkat atas masjid, di ruang dalam masjid kecuali lantai tawaf. Ada polis yang menjaga dan tidak membenarkan kerusi roda solat sekitar situ. Namun, kadang-kadang ada juga kita melihat yang berkerusi roda berada di lantai tawaf. Itu rezeki masing-masing.

Kawasan Saie di tingkat atas agak kurang sesak berbanding di tingkat bawah

Namun dari aspek keselamatan lebih baik berada di tingkat atas kerana kebiasaaanya di lantai tawaf terlalu ramai orang dan berlakunya kesesakan. Biasanya hari Jumaat adalah hari cuti dan hujung minggu akan berlaku kesesakan semasa tawaf kerana semua orang akan mengambil kesempatan ini dari seluruh tempat untuk melaksanakan umrah. 

Adalah dinasihatkan bagi mereka yang ingin beriktikaf di masjid untuk mengelak kesesakan pergi ke masjid seawal jam 3.30 pagi dan meneruskan ibadah-ibadah sunat yang lain sehingga subuh. 

Sebelum ke masjid, selesaikan urusan rutin kumbahan kencing dan buang air besar terlebih dahulu supaya tidaklah nanti terpaksa bergegas ke tandas di masjid. Tambahan pula orang ramai. Jadi kurangkan minum air sebelum ke masjid. Sepertimana di sebutkan di atas, tandas berada di luar masjid dan sedikit jauh.

Perlu diingatkan, ukur kekuatan dan ketahanan anda. Tidak semestinya setiap waktu anda ke masjid. Kita perlukan tenaga yang berterusan untuk tempoh 10-14 hari di tanah suci. Boleh rehat di hotel pada waktu Zohor, pergi pada waktu Asar dan terus maraton hingga ke Isya’. Atau rehat Zohor Asar. Pergi Maghrib dan Isya. Faktor jarak antara hotel ke masjid juga perlu di ukur. Memang kita datang untuk beribadah, tetapi kesihatan juga wajib di jaga.

Bawalah sedikit makanan (buah-buahan, kurma, kekacang) serta minuman dalam beg kecil anda. Jika teras anda lapar, boleh mengunyah tanpa perlu keluar masjid untuk membeli makanan.

BERAPA KALI UMRAH MEREKA PERLU BUAT

Memadai sekali sahaja. Namun bergantung kepada kekuatan dan stamina anda. Perlu diingatkan 10-14 hari di sana, memerlukan tenaga yang banyak di samping keadaan kesesakan jemaah yang berterusan. Namun, sekiranya untuk umrah kali ke-2 atau ketiga, ulang proses seperti biasa. 

Sekiranya tidak mahu lagi melakukan umrah kedua atau ketiga, lebihkan amalan yang tidak memerlukan tenaga yang banyak seperti tawaf sunat, beriktikaf di masjid, solat sunat tawaf, berdoa, membaca qur’an dan seumpamanya. Itu lebih baik untuk kita.

KETIKA ZIARAH


Anda boleh mengikuti rombongan jemaah lain untuk melakukan ziarah luar sama ada Makkah atau Madinah. Cuma ia memerlukan sedikit masa. Kerusi roda anda boleh dibawa naik ke dalam bas atau ke 'perut bas'. Ketika menaiki bas, anda memerlukan orang untuk mengendong dan memimpin ke dalam bas. Minta jasa baik jemaah-jemaah lain untuk membantu anda ke dalam bas.


Ada lokasi yang perlu anda turun dan ada yang cukup dengan menunggu di dalam bas sahaja. Tidaklah setiap tempat anda perlu turun. Kalau Ziarah Makkah, ketika Jabal Nur dan Jabal Thur, termasuk di Arafah memadai dengan melihat di dalam bas tanpa perlu turun.

CUACA


Cuaca di Mekah agak berbeza di Malaysia. Kebiasaanya bergantung pada musim umrah anda pergi. Suhu sekitar 30 hingga 40 lebih. Adakalanya mencecah sehingga 50. Bergantung pada bulan anda pergi kesana.


Di Madinah pula, sekiranya musim sejuk, suhu boleh jatuh ke bawah 15 darjah. Sejuknya agak berbeza walaupun pada suhu 15 kerana ia sejuk padang pasir. Jadi bawalah persediaan baju yang secukupnya. Bawa juga mask untuk mengelakkan batuk-batuk dan habuk pasir yang boleh menjejaskan kesihatan.

ASPEK EMOSI DAN MOTIVASI

Elakkan dari merungut atau mengeluh tentang keadaan di sana. Beribadahlah dengan hati yang tenang dan bersyukur kerana di pilih sebagai tetamu Allah untuk menunaikan umrah. Perbanyakkan istighfar dan doa agar dipermudahkan segala urusan.

Peluang menunaikan umrah merupakan suatu motivasi diri di mana semua orang boleh melakukan umrah termasuk OKU berkerusi roda seperti kita. Ia juga sebagai suatu persediaan sekiranya anda dijemput pula menunaikan ibadah haji, jadi sudah ada gambaran dan persediaan untuk rukun ibadah yang kelima. Cuma beberapa aspek lain sedikit berbeza seperti wukuf di arafah, bermalam di mina, dan melontar.

Tips ini dikutip dan diolah semula berdasarkan pengalaman peribadi umrah SCI serta beberapa catatan mutawwif yang pernah menguruskan orang berkerusi roda ke Mekah. Anda boleh komen dan tambah maklumat sekiranya ada beberapa tips lain yang dirasakan perlu.


Kredit:
1) Azizul Asri Ahmad Tajuddin (SUFFAH TRAVEL & TOURS SDN BHD)
2) Basri Husin (OKU Berkerusi Roda - Spinal Cord Injury)
3) Hamidah Hassan (OKU Berkerusi Roda - Spinal Cord Injury)
4) Ayen Razali (OKU Berkerusi Roda - Spinal Cord Injury)

Semoga tips ini serba sedikt membantu anda menunaikan ibadah umrah anda!

Wednesday, October 10, 2018

October 10, 2018

DISKAUN GRABCAR UNTUK OKU


Tahukah anda bahawa perkhidmatan E-Hailing Grab Car ada menawarkan diskaun untuk pengguna OKU sekiranya menggunakan perhidmatan mereka? 

GRABCAR melalui SUPERHEROES PROGRAMME telah melancarkan inisiatif ini sejak 2016 lagi dengan memberi kemudahan diskaun sebanyak RM3 setiap kali penggunaan kepada OKU.

Melalui program ini  terdapat beberapa kelebihan OKU yang menggunakan perkhidmatan Grab Car melalui SUPERHEROES PROGRAMME ini iaitu;
• Nilai diskaun adalah sebanyak RM 3 X 20 penggunaan setiap bulan. (Value of discount is RM3 x 20 rides per-month.)
• Promosi ini akan diperbaharui secara automatik bagi setiap bulan. (Promotion will auto renew at the start of the month.)
• Promosi ini sah melalui  tempahan yang dibuat secara tunai dan Kad kredit/debit untuk semua jenis perkhidmatan Grab. (Promotion is valid for bookings made via cash and credit/debit card for allGrab Rides.)
• Sekiranya pengguna ingin menggunakan mana-mana promocode lain, promocode baru akan menggantikan diskaun ini. (If passenger decides to use any other promocode, the new promocode will supersede this discount.)

Caranya adalah dengan mendaftar pada melalui link laman web ini https://www.grab.com/my/blog/grabsuperheroes-programme/

Bahkan SUPERHEROES PROGRAMME ini juga boleh digunakan oleh Warga Emas yang berumur 60 tahun ke atas. Cumanya perkhidmatan ini hanya terhad disekitar Lembah Klang sahaja.

Saturday, September 29, 2018

September 29, 2018

LUMPUH SEBAGAI SALAH SATU PENYAKIT YANG TIDAK BOLEH DIIKLANKAN SEBAGAI TUNTUTAN PERUBATAN

Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia, “LUMPUH” adalah salah satu daripada 20 jenis penyakit yang TIDAK BOLEH DIIKLANKAN (SEKSYEN 3(1) AKTA UBAT (IKLAN DAN PENJUALAN) 1956.

Lain-lain penyakit yang tidak boleh diiklankan adalah sebagaimana gambar yang dilampirkan. 

Kecederaan saraf tunjang merupakan masalah jangka panjang dan masih belum ada rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit ini. Pakar-pakar perubatan belum menemui satu kaedah rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit ini. Apa yang dilakukan sekarang masih di peringkat kajian.
Oleh yang demikian, sekiranya di luar sana anda menjumpai iklan-iklan atau produk kesihatan yang boleh mengubati 1001 penyakit, Berwaspadalah!! Kerana kebarangkalian produk itu adalah produk penipuan “health Scam” atau ia melanggar akta ubat (iklan dan penjualan) 1956).

Bagi seorang SCI, sekiranya anda menemui iklan-iklan seperti ini, anda jangan mudah terpengaruh dan perlu nilai semula. Kebarangkalian produk tersebut telah melanggar akta berkaitan iklan ubat. Kita sebagai pengguna ubat perlu peka dan jangan mudah terpengaruh dengan iklan-iklan ubat yang tidak diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat.

Dalam satu ulasan Facebook post entri yang dikeluarkan oleh Prof Dr Emilda Balcin, beliau menyenaraikan 3 cara yang paling senang untuk mengenali produk penipuan ‘Health Scam’ iaitu 
1) Penggunaan TESTIMONIAL.
2) Tuntutan yang SATU produk boleh sembuh MACAM-MACAM jenis penyakit.
3) Produk yang dikatakan boleh menyembuh, merawat atau mencegah 20 jenis penyakit kronik ini 

Tulis Prof Emilda lagi, “Jika penjual membuat tuntutan ini tentang produk mereka, ini ialah IKLAN HARAM yang melanggar Akta Ubat dan undang-undang Malaysia. Penjual yang melanggar undang-undang Malaysia ialah penjual produk ‘scam’.
Oleh yang demikian, sekiranya anda was-was was-was dengan sesuatu ubat atau inginkan kepastian akan kandungan produk tersebut atau hal berkaitan pendaftaran produk dengan KKM, anda boleh terus berhubung dengan :
  • Pusat panggilan farmasi kebangsaan 1800 88 6722
  • Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ( Jika produk tersebut dikatakan produk supplement / makanan tambahan bukan ubata-ubatan ) 03 8883 3888 , 03-88833558 / 03-88850797
  • JAKIM ( Jika ragu-ragu akan kehalalan atau logo halal sesuatu produk ) hubungi bahagian hab halal 03-8892 5000/5097


Sumber:
  1. Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. Duta Kenali Ubat Anda
  3. Prof. Dr. Imelda Balchin (facebook)

Tuesday, September 25, 2018

September 25, 2018

ALAT BANTUAN (ASSISTIVE DEVICE) BAGI MEMUDAHKAN ANDA UNTUK MAKAN DAN MINUM BAGI TETRAPLEGIA

Selepas mengalami kecederaan saraf tunjang (spinal cord injury-SCI), anda mungkin mengalami kelemahan atau kesukaran pergerakan pada tangan dan jari terutamanya bagi SCI tetraplegia. Kelemahan dan kesukaran ini juga berbeza mengikut tahap kecederaan saraf tunjang tetraplegia C1-C8. Namun, kebiasaanya C4-C8 mampu untuk menggunakan peralatan ini.
Bagi yang mengalami kelemahan atau kesukaran pergerakan pada tangan dan jari, anda mungkin sukar untuk makan dan minum tanpa bantuan ataupun pertolongan. Namun, tahukah anda terdapat alat peranti bantuan (Assistive Device) yang dapat memudahkan anda makan dan minum secara berdikari?. Perlu diingatkan sekiranya anda tidak mempunyai deria sensitiviti atau deria sensori yang kurang, anda perlu berhati-hati dengan makanan dan minuman panas yang boleh menyebabkan kecederaan pada kulit anda.


PERANTI BANTUAN UNTUK MAKANAN

Terdapat beberapa alat peranti yang boleh membantu anda berdikari untuk makan serta memudahkan anda menikmati makanan. Kebanyakan peranti membantu anda untuk memegang perkakas makanan yang diletakkan pada tangan atau tapak tangan dan disambungkan dengan beberapa peralatan makanan seperti sudu, garpu, alat pemotong dan seumpamanya.
Dorsal wrist splint
Dorsal wrist splint: digunakan dengan sudu atau garpu apabila anda mempunyai pergelangan tangan dan jari yang lemah.
Universal cuff (U-cuff)
Universal cuff (U-cuff): digunakan dengan sudu atau garpu apabila anda mempunyai jari yang lemah.
Built-up handle
Built-up handle: Pemegang yang lebih besar, lembut dan lebih mudah dipegang dengan keadaan jari yang lemah. Ia dapat digunakan dengan sudu, garpu atau pisau pemotong.
Rocker knife
Rocker knife: digunakan untuk memotong makanan dengan tangan atau jari yang lemah.

Plate guard or a bowl with high sides
Plate guard or a bowl with high sides: Ia berfungsi sebagai mengawal makanan yang digunakan oleh sudu atau garpu tanpa menyebabkan makanan tersebut jatuh dari pinggan.

PERANTI BANTUAN UNTUK MINUMAN

Sekiranya anda mempunyai limitasi tangan yang terlalu terhad, anda boleh menggunakan straw panjang dan fleksibel serta boleh dibengkokkan. Namun, sekiranya tangan atau jari masih mempunyai sedikit kefungsian anda boleh menggunakan pemegang khusus untuk membantu anda memegang gelas atau cawan.

Antara alat peranti bantuan untuk minuman

Antara peranti bantuan untuk minuman adalah:
  • Glass holders,
  • Drinking straw holder:
  • Extra long straws:
  • Hydration pack and hose

*anda boleh search di internet untuk maklumat awal
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI AHLI TERAPI CARA KERJA (OCCUPATIONAL THERAPIST) ANDA

RUJUKAN:
http://www.spinalcordessentials.ca/ 
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4303793/ 
https://www.spinalcord.com/blog/4-adaptive-feeding-devices-for-quadriplegics 


.

Friday, September 21, 2018

September 21, 2018

SCI DAN KEHIDUPAN YANG AKTIF



Mereka yang mengalami kecederaan saraf tunjang / spinal cord injury (SCI) menyebabkan mereka kehilangan sebahagian daripada fungsi anggota dan sensori. Keadaan ini secara umumnya disebut sebagai lumpuh. Namun tahap kelumpuhan ini bebeza-beza mengikut tahap kecederaan pada saraf tunjang itu. Disebabkan itu, mereka biasanya perlu menggunakan kerusi roda untuk melakukan aktiviti seharian.

Sesorang yang mengalami SCI berkeupayaan melakukan pelbagai aktiviti harian sebagaimana orang biasa yang lain walaupun caranya agak berbeza. Inisiatif untuk cuba melakukan aktiviti seharian tanpa kebergantungan kepada orang lain adalah satu bentuk usaha gigih dan memanifestasikan keupayaan kuat jiwa/will power di balik kekurangan fizikal yang ada. Ya, ianya bukan suatu yang mudah. Namun, keupayaan ini telah banyak dibuktikan oleh golongan SCI ini.
Oleh yang demikian, stigma masyarakat bahawa orang yang lumpuh (SCI) adalah orang yang sakit dan hanya berada di atas katil sahaja perlu diubah. Pemikiran seperti ini yang perlu dikikis daripada masyarakat kerana pemikiran ini memberi impak negatif kepada SCI secara psikologi dan sekaligus menyebabkan masyarakat tidak bersifat proaktif untuk membantu SCI itu kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa dan menyumbang kembali kepada masyarakat.


Bagi komuniti SCI pula, mereka perlu kembali dan bergaul dalam masyarakat kerana ia adalah satu proses penting dalam mengembalikan keyakinan diri dan kehidupan seperti sebelum SCI. Serta hakikatnya anda adalah sebahagian elemen yang membentuk fabrik masyakarat. Hubungan sosial antara komuniti SCI dengan masyarakat sangat penting. Ini membuktikan bahawa komuniti SCI masih dapat berinteraksi dengan baik dalam masyarakat walaupun berkerusi roda. Pelbagai aktiviti yang boleh SCI terlibat bersama seperti pendidikan, pekerjaan, kesukanan, riadah dan sebagainya.

Perasaan malu dan takut harus dikikis dalam diri orang yang mengalami SCI. Sikap sering mencuba dan tidak mudah mengalah dapat memberi inspirasi dan mengubah pandangan serta stigma masyakarat yang menganggap SCI adalah orang yang sakit. Namun hakikatnya, majoriti orang yang berkerusi roda bukanlah orang sakit. Itulah yang masyarakat perlu faham.

Dalam hal ini, golongan yang kerusi roda mampu hidup secara berdikari sekiranya tidak wujud halangan persekitaran dan halangan sikap dalam masyarakat yang bersifat inklusif.

Sunday, September 16, 2018

September 16, 2018

SPESIFIKASI PEMBINAAN KAUNTER

Image may contain: text



Tahukah anda seseorang individu yang menggunakan kerusi roda sukar untuk berurusan di kaunter yang tinggi dan tiada ruangan kaki untuk memberikannya ruang selesa melakukan urusan terutamanya di Kaunter Bank, Kaunter Pos, Kaunter Pertanyaan, Kaunter Imigresen, Kaunter Tiket, Kaunter Hotel dan banyak lagi.

Kaunter yang lebih rendah dan mempunyai ruangan kaki adalah lebih sesuai dan memudahkan pengguna kerusi roda melaksanakan urusannya di kaunter berkenaan tanpa sebarang halangan.

Sebagai rujukan speksifikasi kaunter aksesibel ini boleh dirujuk di dalam Malaysian Standard MS 1184 seperti lampiran gambar di bawah.
Image may contain: textNo automatic alt text available.

Wednesday, September 12, 2018

September 12, 2018

PANDUAN PERJALANAN TRAIN ETS UNTUK OKU



ETS (Electric Train Service) merupakan perkhidmatan keretapi di bawah penyelenggaraan KTMB yang menghubungkan antara bandar (intercity) terutamanya untuk perjalanan ke Utara tanah air. Ia merupakan perkhidmatan awam yang mesra pengguna termasuk juga untuk golongan Orang Kurang Upaya.


Kami kongsikan panduan perjalanan perkhidmatan ETS untuk OKU.

HARGA TIKET

Tiket yang dibeli di kaunter
KTM. jangan lupa
membawa kad oku bersama
Tiket perjalanan menaiki ETS bagi seorang OKU amatlah berbaloi kerana terdapat diskaun perjalanan bagi pemegang kad OKU. Sebagai contoh, tiket perjalanan dari KL SENTRAL ke Sungai Petani adalah hampir separuh dari harga asal iaitu dari RM62.00 kepada RM35 untuk Kelas Gold. Bahkan bagi OKU yang membawa pengiring juga layak mendapat diskaun perjalanan. Diskaun pengiring adalah untuk seorang sahaja.

Dari segi tempoh perjalanan, ia boleh dikatakan agak cepat. Sebagai contoh perjalanan dari KL Sentral ke stesen KTM Sungai Petani adalah selama 4 jam 10 minit. Terdapat skrin tv info perjalanan yang mencacatkan kelajuan train. Adakalanya mencecah 140kmj. Ia berhenti di beberapa stesen utama sebelum sampai Sungai Petani bagi tiket kelas Platinum seperti di Batu Gajah, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping dan Sungai Petani.


PEMBELIAN TIKET

Bagi penumpang OKU yang menggunakan kerusi roda, tongkat, atau memerlukan pertolongan dari kru ETS, dinasihatkan untuk mengambil seat di Koc D, kerana semua kemudahan OKU serta staff berada berdekatan Koc D.

Pembelian tiket boleh dibeli di kaunter KTM atau pembelian secara online.. Untuk pembelian secara online, boleh layari laman https://eticket.ktmb.com.my/guest/user/login. Jangan lupa untuk mendaftar dahulu jika anda pertama kali menggunakan khidmat pembelian tike online ini.

Selanjutnya pilih perjalanan anda samaada sehala atau “return. Kemudian pilih destinasi, tarikh dan anggaran waktu perjalanan untuk bertolak serta jumlah bilangan penumpang. Kemudian klik search.




Setelah menekan butang search, anda akan dapat paparan tentang tarikh dan waktu perjalanan, Jenis perkhidmatan koc, tempoh perjalanan serta tempoh ketibaan di destinasi dan juga harga untuk perjalanan. Harga yang dipaparkan adalah harga untuk orang biasa. Namun untuk mendapatkan diskaun perjalanan untuk OKU, anda perlu melengkapkan maklumat selanjutnya.

Setelah anda memilih tarikh dan waktu perjalanan, klik pada butang proceed di sebelah kanan untuk paparan seterusnya iaitu PASSENGER INFO dengan mengisi maklumat peribadi; nama penuh, nombor kad pengenalan, tarikh lahir anda perlu memilih ikon ORDINARY TICKET dan klik pada paparan DISABLED. Harga asal perjalanan "return" akan bertukar daripada RM164 kepada RM90 sebagaimana dalam paparan di bawah.


Harga tiket berbeza-beza mengikut destinasi dan jenis perkhidmatan KOC samaada untuk kelas Silver, Gold atau Platinium. Yang membezakan tren dan harga tren ini adalah perhentiannya. Platinum lebih cepat, kurang berhenti mengambil penumpang dan jarak masa yang singkat. Silver lebih lama masa perjalanannya kerana banyak stop/berhenti untuk mengambil penumpang.

Anda digalakkan rancang perjalanan dengan pembelian tiket secara awal samaada melalui kaunter KTM atau di atas talian kerana ramai pengguna menggunakan perkhidmatan ini terutamanya pada hujung minggu atau musim cuti perayaan.



HENTIAN STESEN

Terdapat 15 stesen hentian ETS dari KL sentral ke Padang Besar sebagaimana berikut:

PERKHIDMATAN DAN KEMUDAHAN DI DALAM TRAIN
No automatic alt text available.
Dari segi perkhidmatan perjalanan pula, koc untuk OKU berkerusi roda kebiasannya berada ditempatkan di Koc D. Mungkin kerana ia berdekatan dengan tandas OKU dan bersebelahan kaunter makanan dan minuman. OKU berkerusi roda boleh memilih untuk duduk di atas kerusi rodanya sepanjang perjalanan ataupun pindah ke kerusi penumpang. Sekiranya anda memilih untuk pindah ke kerusi penumpang, anda boleh lakukan dengan sendiri atau meminta bantuan staf KTM.


No automatic alt text available.
Terdapat juga kemudahan tandas yang agak luas dan selesa untuk digunakan dalam perjalanan. Ia bersifat gunasama tak kira fizikal yang sempurna atau berkerusi roda. Juga tidak kira lelaki dan wanita. Tandasnya amat bersih dan ada flip handbar untuk dipegang kalau nak pindah ke mangkuk tandas. Cuma sedikit bergoyang disebabkan perjalanan train.
Selain itu perkhidmatan makanan dalam train juga disediakan. Ia terletak di koc C berdekatan dengan tandas. Akses ke sana juga mudah. Namun sekiranya anda agak sukar untuk ke sana, boleh meminta bantuan staf KTM untuk membelinya. Bilik staf berada di hadapan tempat duduk OKU di antara KOC C dan KOC D.
Image may contain: indoor

Selain itu perkhidmatan surau juga terdapat di Koc C

Manakala terdapat juga soket plug untuk cas telefon ataupun laptop anda yang berada di bawah tempat duduk masing-masing.

Membawa Pakaian Yang Sesuai

Keadaan di dalam train agak sejuk, jadi lebih baik sediakan sweater atau bawa selimut sendiri kalau sesiapa yang tak tahan sejuk.
Sementara itu, bagi sesiapa yang suka main handphone 24 jam, di sesetengah kawasan, line internet agak perlahan. Mungkin kerana laluan perkhidmatan ETS agak berbeza dari highway PLUS yang berhampiran pencawang telekomunikasi.
Kesimpulannya perjalanan pulang dengan ETS memang berbaloi dan perkhidmatan yang di sediakan juga adalah terbaik.

Semoga Bermanfaat
Dari Persatuan Advokasi Kecederaan Saraf Tunjang Malaysia (MASAA)