Mereka yang mengalami kecederaan saraf tunjang / spinal cord injury (SCI) menyebabkan mereka kehilangan sebahagian daripada fungsi anggota dan sensori. Keadaan ini secara umumnya disebut sebagai lumpuh. Namun tahap kelumpuhan ini bebeza-beza mengikut tahap kecederaan pada saraf tunjang itu. Disebabkan itu, mereka biasanya perlu menggunakan kerusi roda untuk melakukan aktiviti seharian.
Sesorang yang mengalami SCI berkeupayaan melakukan pelbagai aktiviti harian sebagaimana orang biasa yang lain walaupun caranya agak berbeza. Inisiatif untuk cuba melakukan aktiviti seharian tanpa kebergantungan kepada orang lain adalah satu bentuk usaha gigih dan memanifestasikan keupayaan kuat jiwa/will power di balik kekurangan fizikal yang ada. Ya, ianya bukan suatu yang mudah. Namun, keupayaan ini telah banyak dibuktikan oleh golongan SCI ini.
Oleh yang demikian, stigma masyarakat bahawa orang yang lumpuh (SCI) adalah orang yang sakit dan hanya berada di atas katil sahaja perlu diubah. Pemikiran seperti ini yang perlu dikikis daripada masyarakat kerana pemikiran ini memberi impak negatif kepada SCI secara psikologi dan sekaligus menyebabkan masyarakat tidak bersifat proaktif untuk membantu SCI itu kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
Bagi komuniti SCI pula, mereka perlu kembali dan bergaul dalam masyarakat kerana ia adalah satu proses penting dalam mengembalikan keyakinan diri dan kehidupan seperti sebelum SCI. Serta hakikatnya anda adalah sebahagian elemen yang membentuk fabrik masyakarat. Hubungan sosial antara komuniti SCI dengan masyarakat sangat penting. Ini membuktikan bahawa komuniti SCI masih dapat berinteraksi dengan baik dalam masyarakat walaupun berkerusi roda. Pelbagai aktiviti yang boleh SCI terlibat bersama seperti pendidikan, pekerjaan, kesukanan, riadah dan sebagainya.
Perasaan malu dan takut harus dikikis dalam diri orang yang mengalami SCI. Sikap sering mencuba dan tidak mudah mengalah dapat memberi inspirasi dan mengubah pandangan serta stigma masyakarat yang menganggap SCI adalah orang yang sakit. Namun hakikatnya, majoriti orang yang berkerusi roda bukanlah orang sakit. Itulah yang masyarakat perlu faham.
Dalam hal ini, golongan yang kerusi roda mampu hidup secara berdikari sekiranya tidak wujud halangan persekitaran dan halangan sikap dalam masyarakat yang bersifat inklusif.
No comments:
Post a Comment