Monday, October 1, 2018

TANDAS OKU: KEPERLUAN DAN REKA BENTUK

Tandas OKU direka dan dibina untuk Orang yang Kurang Upaya terutamanya OKU fizikal disebabkan mereka mempunyai limitasi pergerakan dan memerlukan ruang yang besar di dalam tandas. OKU yang menggunakan kerusi roda, yang menggunakan tongkat dan seumpamanya sudah pastilah agak sukar bagi mereka menggunakan tandas biasa kerana rekabentuk tandas biasa agak sempit serta tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan keselesaan untuk OKU.
Berbeza dengan tandas biasa, kebiasaannya tandas OKU direka khas dengan ruang yang agak besar serta dilengkapi dengan beberapa binaan tambahan seperti grab bar, hand railing, penggera keselamatan dan lain-lain lagi. Ciri-ciri tambahan ini adalah memudahkan OKU fizikal untuk pemindahan dari tempat duduk ke ruang mangkuk tandas. Manakala grab bar pula sebagai bantuan untuk yang mempunyai kesukaran bangun dengan sendiri dari mangkuk tandas dan seumpamanya.
Ruang yang agak besar untuk tandas OKU penting agar pergerakan OKU menjadi mudah dan tidak terhalang oleh sinki, mangkuk tandas dan seumpamanya. Adakalanya penjaga OKU membantu di dalam tandas agar mereka dapat menggunakan fasiliti ini
MS1184:2014 Universal design and accessibility in the built environment - Code of practice
Di Malaysia, Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan MS1184:2014 Universal design and accessibility in the built environment - Code of practice sebagai panduan bagi memastika semua bangunan yang boleh diakses oleh orang awam dilengkapi dengan kemudahan akses bagi semua golongan masyarakat termasuk OKU.
Secara khususnya untuk tandas OKU, beberapa panduan telah ditetapkan dengan ciri khusus agar menepati piawaian reka bentuk sejagat (universal design).
Antara ciri tersebut adalah"
1) Pintu tandas harus dibuka ke arah luar, dengan lebar tanpa halangan minimum 800 mm.
Jika pintu dibuka ke arah dalam,maka hendaklah ada satu cara untuk membuka pintu atau
mengeluarkannya dari luar.

Adalah disyorkan untuk menggunakan pintu gelongsor. Kunci
pintu yang mudah dibuka dari luar jika berlaku kecemasan dan mudah digunakan oleh pengguna OKU. (Klausa 25.2 (c): Ms. 87 & Klausa 25.5: m/s 96)

2) Lantai tidak licin. (Klausa 25.3, m/s 87)
3) Tandas awam mempunyai ruang yang minimum 1700mm x 2200mm (P x L) untuk pengguna kerusi roda keluar dan masuk. (Klausa 25.4.1, m/s 89)
4) Keperluan bagi mangkuk tandas:
     a) Mangkuk tandas bercirikan spesifikasi OKU (ketinggian 400mm-480mm, jenis, warna, simbol) dan berada dalam keadaan selesa untuk pengguna kerusi roda;
     b) Jarak minimum dari tepi tempat duduk tandas ke dinding
belakang adalah antara 650 mm dan 800 mm;
     c) Jarak minimum sudut mangkuk tandas ke dinding bersebelahan hendaklah 250 mm (rujuk Figure 58). Jarak minimum dari garis tengah sudut tandas ke dinding bersebelahan hendaklah 450 mm. (Klausa 25.6: m/s 96)

5) Rel Pemegang (Grab Rails) di kedua- dua sisi (sama ada drop-down atau tetap ke dinding) hendaklah disediakan pada jarak antara 300 mm hingga 350 mm dari mangkuk tandas.
Jarak minimum dari dinding hendaklah 40 mm.

6) Jika dinding di tepi tandas, rel pemegang mendatar hendaklah disediakan pada ketinggian 200 mm hingga 300 mm di atas tempat mangkuk tandas, dan rel pemegang menegak dipasang pada ketinggian 1700 mm dari lantai. (Klausa 25.7: m/s 98)
Oleh yang demikian, piawaian dan ciri khusus tandas OKU ini di reka khas kerana berdasarkan keperluan dan keupayaan khas golongan OKU khususnya yang OKU fizikal yang mempunyai limitasi pergerakan yang berbeza dengan orang lain. Pentingnya tandas ini tidak disalahgunakan oleh masyarakat awam sebagai menghormati hak-hak dan keperluan OKU sebagaimana yang termaktub dalam Akta OKU 2008 dan undang-undang Malaysia


No comments:

Post a Comment