Tuesday, February 26, 2019

JENIS-JENIS KERUSI RODA DAN TUJUAN PENGGUNAANNYA




Secara umumnya fungsi utama kegunaan kerusi roda adalah bagi menggantikan keadaan fizikal diri yang berhadapan dengan kesukaran pergerakan atau mobiliti yang disebabkan oleh penyakit, kecederaan, atau orang yang mengalami kurang upaya fizikal (OKU).


Penggunaan kerusi roda membolehkan penggunanya bergerak secara bebas dalam melakukan aktiviti harian seperti bekerja, bersekolah atau aktiviti-aktiviti riadah.


Keperluan kerusi roda datang dalam pelbagai jenis dan format bergantung kepada penggunaannya secara khusus. Keperluan ini termasuklah dari segi kawalan individu atau kawalan yang dibantu oleh seseorang. Jenis lain penggunaan secara khusus adalah bergantung kepada aktiviti tertentu seperti kerusi roda untuk tujuan bersukan, kerusi roda untuk tujuan ke tandas (commode chair) dan kerusi roda pantai.


Adapun juga perbezaan ketara antara jenis-jenis kerusi roda adalah dari segi bentuk fizikalnya sepert kerusi roda elektrik dan kerusi roda manual. Selain itu, perbezaan lain adalah dari sudut fizikalnya adalah dari jenis yang boleh dilipat (foldable) dan kerusi roda yang tidak boleh dilipat (rigid)


Dalam memilih kerusi roda, terdapat empat perkara yang perlu dipertimbangkan:
  1. Pertimbangan dari sudut jangka masa penggunaan kerusi roda – sama ada jangka panjang atau pendek.
  2. Tujuan penggunaan kerusi roda itu sendiri samaada untuk aktiviti biasa atau aktiviti sukan.
  3. Pertimbangan dari sudut pengurusannya iaitu samaada mudah di bawa masuk dan keluar dari kenderaan pengguna.
  4. Kerusi roda yang dikendalikan oleh pengguna sendiri atau yang memerlukan bantuan orang lain.
Untuk panduan memilih kerusi roda yang sesuai, sila baca artikel ini: 
Selain itu juga, kusyen kerusi roda merupakan alat tambahan penting bagi memastikan keselesaan dan kesihatan yang baik kepada penggunanya. Bagi individu yang mengalami kecederaan saraf tunjang ataupun stroke, pemilihan kusyen atau pelapik tempat duduk perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kulit punggung pengguna melecet atau mendapat kudis tekanan. 

Oleh yang demikan, mari kita lihat jenis kerusi roda dari sudut tujuan penggunaannya.

1. Standard Manual Wheelchairs



Kerusi roda jenis ini kebiasaannya digunakan di hospital atau ditempat-tempat awam yang lain. Tujuan penggunaannya adakalanya bersifat sementara di mana penggunanya masih berpotensi untuk berjalan atau bergerak. Namun pergerakan fizikal tersebut dalam keadaan yang lemah. Dari segi saiz, ianya agak besar. Bagi pengguna yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kerusi roda untuk aktiviti harian, tidak digalakkan menggunakan kerusi roda jenis ini kerana kerusi ini tidak menyokong posteur badan pesakit & agak berat untuk dikendalikan secara sendirian. 


2. Electric/Motorized Wheelchair


Kerusi roda jenis ini hadir dalam bentuk bateri yang dicas ataupun bersifat detachbale yang boleh disambung kepada kerusi roda biasa. Kerusi roda ini kebiasaannya digunakan bagi mereka yang tidak mampu untuk menggerakkan anggota kaki serta mempunyai anggota tangan yang lemah. Ia juga sesuai digunakan untuk aktiviti di dalam & di luar rumah. Kos kerusi roda ini lebih tinggi berbanding kerusi roda di atas. Bagi yang menggunakan kerusi roda jenis ini, ia perlu peka terhadap jarak perjalanannya kerana ia bergantung sepenuhnya kepada kuasa bateri/elektrik bagi setiap perjalanan kerusi roda tersebut. 


3. Transport/Travel Wheelchairs


Bagi kerusi roda transport/travel ia adalah jenis yang mudah untuk diuruskan dan fizikalnya yang agak ringan. Kebiasaanya Kerusi roda jenis ini digunakan untuk aktiviti di luar rumah yang bersifat sementara. Dari segi fizikalnya roda dihadapan dan roda dibelakang tidaklah besar dan ia memerlukan bantuan orang lain bagi menggerakkannya. Dari segi berat, ada yang hanya seberat 6kg sahaja. 


4. Light and Ultra Lightweight Wheelchairs


Bagi yang bergantung sepenuhnya penggunaan kerusi roda untuk ADL (Activiti Daily Living), kerusi roda jenis ringan atau ultra ringan adalah amat sesuai dipilih dan digunakan dalam kehidupan seharian. Kerusi ini mudah digunakan & agak ringan untuk dikendalikan secara sendirian tanpa bantuan orang lain. Ada juga kerusi roda jenis ini yang ditempah khas (custom-made) mengikut postur badan disebabkan kegunaannya yang bersifat jangka panjang. Ada yang boleh dilipat dan ada juga yang berbentuk rigid (tidak boleh dilipat). Pengguna memilih dari segi kelesesaannya dalam pengunaan harian samaada untuk bekerja, riadah dan aktiviti harian yang lain. Dari segi harga pula, ia agak mahal terutamanya bagi jenis ultra lightweight. Ada sesetengah jenama bagi kerusi roda ini mencecah puluhan ribu ringgit disebabkan reka bentuk dan kualiti pembuatannya yang boleh digunakan untuk jangka masa panjang.

5. Sport Wheelchairs


Kerusi roda sukan digunakan khas untuk aktiviti sukan-sukan berkerusi roda bagi memudahkan pergerakan dalam sukan yang disertai. Kerusi roda jenis ini hampir sama dari segi beratnya dengan jenis “ultra lighwieght wheelchair” kerana pengguna memerlukan pergerakan pantas dalam sebarang sukan yang disertai. Contoh kerusi roda sukan yang direka khas adalah seperti Wheelchair tennis, Wheelchair Badminton, Wheelchair Basketball dan lain-lain lagi. Harga bagi kerusi roda ini juga boleh mencecah puluhan ribu ringgit disebabkan kualiti dan bahan pembuatannya. 


6. Pediatric Wheelchairs



Pediatric Wheelchair biasanya bersaiz kecil yang digunakan untuk anak-anak atau mereka yang bertubuh kecil. Ini kerana kerusi ini agak kecil saiznya yg sesuai untuk kanak-kanak. Pentingnya Pediatric wheelchair bagi menyokong postur bentuk badan untuk jangka masa yang panjang. Kebiasaanya kanak-kanak Celebral Palsy, Spinal befida dan lain-lain menggunakan ketika mereka masih kanak-kanak.


7. Tilt and Recliner Wheelchairs


Tilt atau recliner wheelchair adalah jenis kerusi roda yang boleh diubah suai pada “back rest” sehingga membolehkan penggunanya baring ketika berada di atas kerusi roda. Kebiasaannya, pesakit stroke atau tetraplegia yang berada pada tahap yang tinggi menggunakan kerusi roda jenis ini. Ia memerlukan bantuan orang lain bagi menggerakkan kerusi roda ini. 


8. Standing Wheelchair



Kerusi roda “berdiri” sedikit berbeza daripada kerusi roda yg lain. Ia mempunyai dua fungsi kegunaan yang membolehkan pengguna berdiri ketika berada di atas kerusi roda ini dan boleh duduk seperti biasa. Jika pekerjaan anda memerlukan anda utk berdiri, anda digalakkan memiliki jenis ini. 

9. Self Propelled Shower and Commode Wheelchair




Kerusi roda jenis commode merupakan jenis kerusi yang digunakan oleh seseorang untuk ke tandas atau bilik mandi. Ia digunakan bertujuan untuk membuang air besar ataupun untuk membersihkan diri di atas kerusi roda tersebut. Kebanyakan kerusi roda commode direka bentuk dengan mempunyai baldi dibawahnya dan tempat duduk kerusi roda mempunyai sedikit bulatan yang membolehkan seseorang mengeluarkan najisnya terus ke baldi yang berada di bawah kerusi.

No comments:

Post a Comment