Cadangan sesetengah pihak untuk melarang penggunaan straw plastik terutamanya di premis awam telah menimbulkan reaksi dalam kalangan pelbagai pihak. Bagi sesetengah golongan OKU seperti Spinal Cord Injury SCI (tetraplegia/Quadraplegia), Celebral Palsy, TBI, amputee (tangan) dan lain-lain, sudah pasti cadangan ini sangat memberi kesan kepada aktiviti harian sekiranya mereka mempunyai aktiviti di luar rumah.
Dalam keadaan tertentu, straw merupakan alat bantuan atau aksesibiliti bagi sesetengah golongan OKU untuk minum atau makan (jenis cecair seperti sup).
Walaupun ada cadangan alternatif kepada penggunaan straw plastik seperti straw logam, komposit dan seumpamanya, ia mempunyai kesan sampingan lain seperti risiko tercekik, kecederaan, kos yang tinggi, tidak boleh diposisikan dan tidak selamat untuk minuman atau makanan yang panas.
Sekiranya cadangan Straw logam bagi OKU diberikan sejauh mana ia selamat dan mudah digunapakai? Dalam sesetengah keadaan straw logam sukar untuk diposisikan tidak seperti straw plastik yang agak lembut dan fleksible. Sementara straw pilihan komposit pula agak kurang sesuai dan tidak tahan tertuamanya untuk minuman panas selain tidak boleh digunakan untuk OKU yang mempunyai alergi. Dari segi kos pula, ia sudah tentu melibatkan wang ringgit yang perlu difikirkan semula.
Sekiranya cadangan membawa straw sendiri diberikan kepada OKU, sejauhmana orang sekeliling akan membantu OKU yang mempunyai mobiliti yang terhad untuk menolong dan membantu mengakses peralatan mereka sendiri di dalam beg? Dalam sesetengah keadaan, tidak ada orang di sekeliling yang akan membantu mereka mendapatkan barang-barang ini daripada beg mereka.
Kami fikir perlunya pertimbangan yang penting dan menyeluruh terhadap larangan penggunaan straw plastik ini di sesetengah premis awam terutamanya untuk golongan OKU. Pengecualian yang dibuat terhadap OKU yang perlu menggunakan straw plastik perlulah jelas dan tidak membebankan. Premis makanan atau minuman perlulah peka terhadap pengecualian yang dijalankan terhadap OKU supaya tidak timbul kekeliruan pada masa akan datang terutamanya yang melibatkan kos tambahan.
Akhir kata, Bukanlah OKU tidak prihatin terhadap alam sekitar dan masa hadapan bumi, tetapi OKU juga berhak menyuarakan pandangan terhadap situasi kesihatan mereka.
Persatuan Advokasi Kecederaan Saraf Tunjang Malaysia
Malaysian Spinal Cord Injury Advocacy Association
No comments:
Post a Comment