Friday, December 7, 2018

MALAYSIA HARMONI - KHUTBAH 7 DISEMBER 2018 (JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH-JAWI)


MALAYSIA HARMONI

Penubuhan sesebuah daulah atau negara adalah untuk menguruskan kehidupan dan menjaga keselamatan rakyatnya. Rakyat yang bersatu padu dan patuh kepada undang-undang serta mengamalkan prinsip saling hormat-menghormati akan mewujudkan keharmonian dalam negara.

Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum, agama, budaya, dan politik, pastinya menghadapi cabaran dalam mengekalkan kestabilan dan keharmonian. Lantaran itu, gagasan rahmatan lil-’alamin sentiasa menekankan aspek perpaduan rakyat yang pelbagai kaum melalui pemantapan ilmu berkaitan fiqh setempat.

Perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dilihat semakin renggang, rapuh dan 
boleh menjadi ancaman besar kepada keharmonian serta kesejahteraan negara. Negara yang bergolak dan tidak stabil akan mendatangkan keburukan dan kemudaratan. Justeru, menolak kemudaratan itu merupakan suatu kewajipan dalam islam sepertimana hadith Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Ibnu ‘Abbas (RA), Rasulullah S.A.W bersabda :

Ù„َا ضَرَر Ù„َا َ Ùˆ َ ضِرَار

Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak memudaratkan”.

Justeru, prinsip ilmu fiqh setempat yang meletakkan sesuatu hukum berdasarkan waqi’ atau keadaan semasa amatlah penting dan utama. Perubahan dan perbezaan keadaan akan menghasilkan perbezaan fatwa dan pandangan. Inilah ciri syariat islam yang objektif, realistik dan dinamik serta sentiasa menitik beratkan maslahah ummat.

Kefahaman ini juga tampil dengan sifat kesederhanaan dan keadilan berdasarkan realiti kehidupan manusia sejagat. Kesederhanaan bermaksud kita menolak ketaksuban dalam beragama, bermazhab dan berpolitik. Keadilan pula bererti pemerintah melaksanakan tanggungjawab dan menyempurkan hak rakyat. Setiap rakyat juga mempunyai tanggungjawab dan peranan yang sama kepada negara dengan memelihara dan mempertahankan perlembagaan.

Dalam usaha membentuk negara Malaysia yang harmoni, kerangka pemikiran dalam ilmu fiqh khususnya pada perkara yang bersifat kontemporari perlu diperluaskan. Ijtihad para ulama dan fatwa dan para mufti mengambil kira budaya dan amalan setempat seterusnya diletakkan pada landasan yang betul mengikut Maqasid Syariah. Para agamawan tidak boleh sewenang-wenangnya menyebarkan fatwa dari negara dan budaya lain untuk diterapkan dalam kerangka tempatan kerana ia boleh menyebabkan salah faham dalam masyarakat. Antara ciri manhaj fiqh setempat yang wajar dilaksanakan mestilah sentiasa dinamik dan terkini, tidak kaku membeku sesuai dengan peredaran zaman dan kemaslahatan rakyat Malaysia.

Bagi memastikan perlaksanaan perubahan gagasan ini berjalan lancar dan perbadu ke arah Malaysia yang lebih harmoni, elemen kefahaman, kesedaran serta kebijaksanaan semua pihak terhadap konsep perubahan yang di bawa amat penting. Gandingan mantap antara ulama dan pemerintah perlu seiring dalam mencerna kesepaduan ilmu. Ulama sebagai tempat rujukan rakyat, sementara pemerintah pula mampu mengendalikan urusan rakyat secara cekap, amanah dan berhemah.

Bagi rakyat, minda mereka mestilah betul-betul bersedia untuk menerima perubahan itu. Kejayaan sebenar tidak akan dicapai jika pemerintah dan rakyat masih gagal memahami konsep perubahan itu sendiri. Bagi mencapai keseimbangan, para ulama mestilah menjiwai perlembagaan persektutuan, sistem raja berperlembagaan, proses demokrasi berparlimen dan kepelbagaian kebudayaan yang membentuk Malaysia hari ini. Antaranya saling menghormati hak dan kebebasan mengamalkan ajaran agama, kesedaran tentang kepercayaan orang lain, tiada keganasan, toleransi beragama dan lain-lain yang berkaitan.

Terdapat tiga elemen utama dalam konteks dalam negara Malaysia iaitu Islam, nilai kebersamaan dan sistem bernegara yang berupaya melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni. Asasnya ialah ia mestilah kembali kepada kefahaman terhadap nilai agama dan bangsa yang boleh dicapai melalui pengetahuan tentang hak dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara, disiplin dan beretika dalam menghayati nilai kebersamaan dan contoh tauladan kepimpinan serta pematuhan kepada sistem negara bangsa berasaskan kepada perpaduan nasional.

Sesungguhnya menangani kepelbagaian memerlukan sikap keterbukaan yang berprinsip antara semua pihak, samaada sebagai pemimpin, ulama, bahkan masyarakat umum di negara ini. Menyantuni mereka yang bukan Muslim tidak bermaksud mengiktiraf semua perlakuan yang salah tetapi berusaha untuk memperbetul dan memperbaikinya mengikut lunas-lunas syariat.

Oleh itu, untuk memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada negara, maka pentadbiran Islam itu mestilah bersifat berdaya saing dan tidak diperlekekhakn oleh rakyatnya sendiri. Semuanya boleh dicapai sekiranya kita betul-betul memahami konsep Maqasid al-Syari’ah.

Islam sememangnya sentiasa memelihara hak-hak asasi semua manusia. Dalam hal ini, mimbar mengambil kesempatan sempena dengan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia untuk mengingatkan para jemaah sekalian, sama-samalah kita melakukan perubahan terutama dalam aspek memantapkan fasiliti Orang Kurang Upaya di negara ini. Ini termasuklah kemudahan-kemudahan ibadat untuk mereka di masjid dan surau-surau supaya lebih inklusif dan mesra OKU. Golongan orang kurang upaya sangat memerlukan bantuan dalam urusan kehidupan mereka sehari-harian. Mereka berhak untuk dilayan dengan baik dan dihormati. Inilah ajaran Islam. Rasulullah S.A.W pernah memberi tauladan yang baik bagaimana membantu golongan sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud (Rahimahullah) daripada Jabir bin Abdullah (RA) yang bermaksud:

“Rasulullah S.A.W berada dibelakang ketika dalam perjalanan, Baginda memimpin orang yang lemah, membonceng serta menyeru orang lain membantu mereka”.

Kesimpulan yang dapat di ambil daripada khutbah pada hari ini ialah:

Pertama: Fahami konsep fiqh setempat dalam berinteraksi dengan Non-Muslim secara lebih toleransi, realistik dan santun berdasarkan kerangka agama.

Kedua: Melalui konsep fiqh setempat ini Syariat Islam dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta keadilan dan kecantikan Islam dapat ditonjolkan.

Ketiga: Memahami waqi’ atau realiti suasana setempat adalah sangat penting dalam menentukan sesuatu hukum islam yang bersifat realistik dan sesuatu dengan semua tempat dan zaman.

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Tawbah ayat 6 yang bermaksud:

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).”


No comments:

Post a Comment