Wednesday, October 31, 2018

October 31, 2018

MOHD ROSDI OSMAN SIFU KERUSI RODA


Beliau sangat disegani dalam kalangan rakan-rakan OKU. Itulah Mohd Rosdi Osman atau lebih mesra dipanggil Abe Rosdi atau Cikgu Rosdi. 

Mengalami kecederaan saraf tunjang sejak 13 Januari 1993, hampir separuh dari umurnya berada di atas kerusi roda. Beliau lumpuh akibat dihempap bas yang dibaikinya pada 25 tahun yang lepas.

Namun begitu, beliau sangat aktif dalam aktiviti-aktiviti OKU terutamanya yang melibatkan penggunaan kerusi roda.




Kemahiran kerusi roda yang dimiliki beliau dikongsi bersama-sama rakan OKU yang lain. Beliau terlibat dalam banyak program melatih pelatih-pelatih baru kerusi roda serta banyak memberi motivasi kepada rakan-rakan OKU terutamanya yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Maka tidak hairan ramai yang menggelar beliau sebagai SIFU KERUSI RODA.


Beliau yang merupakan presiden Persatuan Spinal Pantai Timur aktif dalam kebanyakan program kendalian kerusi roda dan support group sekitar Kelantan, Terengganu dan Pahang.



Lebih dari itu beliau juga aktif dalam persatuan OKU yang lain seperti MASIA dan MASAA serta banyak menjelajah diseluruh semenanjung Malaysia berkongsi kemahiran dan pengalaman beliau.


Semoga beliau terus aktif dalam aktiviti-aktiviti OKU dan aktiviti berkerusi roda.

October 31, 2018

STOP PRESSURE INJURY


STOP PRESSURE INJURY

Highlights:
- To provide information regarding pressure injury to Health Care Providers.
- To expose participants basic life skill in prevention of pressure injury for person with spinal cord injury
- To ensure that participants have the right skills and confidence and should always improve these skills through practice and feedback/
- To understand how to recognize, prevent and treat pressure injury.

For Further Inquire, Please Contact
1) Sr, Yuslina Yusoff (0379498178 / 0178810930)
2) Sn. Chua Siew Chien (0379498178 / 0169357104)
3) Maisarah Anum Mustafa (0379492972)

Organize by Department of Rehabilitation Medicine Universiti of Malaya Medical Centre

Tuesday, October 23, 2018

October 23, 2018

SCUBA SEBAGAI TERAPI DAN KEYAKINAN DIRI: PENGALAMAN TAEHA

Nurul Fathiah atau lebih mesra dengan panggilan Taeha dalam kalangan rakan-rakan
Sesuatu yang tidak pernah diimpikan untuk menyelam di dasar laut selepas mengalami kecederaan saraf tunjang. Itulah pengalaman yang dikongsikan oleh gadis ini. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Taeha di kalangan rakan-rakan menceritakan pengalaman selam skuba di bawah bimbingan Tuan Syed Abdul Rahman dari Kids Scuba dan Dive Heart Malaysia.
Taeha ketika sesi latihan dibawah kendalian Kids Scuba dan Diveheart
Taeha atau nama sebenar beliau Nurul Fathiah mengalami kecederaan saraf tunjang (spinal cord injury-SCI) secara tiba-tiba selepas bangun dari tidur sejak 2003. Menjadi lumpuh banyak mengubah kehidupan beliau dari seorang yang boleh berjalan kepada berkerusi roda. Namun aktiviti scuba yang beliau ceburi menjadikan beliau kini lebih berkeyakinan dalam menjalani aktiviti seharian.
Sesi latihan yang dijalankan di Kolam

Beliau pada permulaan ketika menceburi aktiviti selam scuba ini merasa sedikit bimbang adakah orang yang berkerusi roda seperti beliau mampu lakukan.
Beliau menceritakan "pada permulaan memang takut tak yakin langsung boleh buat.. macam2 fikir boleh buat ke? " Namun selepas menjalani beberapa latihan secara professional dari Tuan Syed Abdul Rahman dan pasukan Diveheart Malaysia, segalanya menjadi mudah.

Taeha (2 dari kanan) ketika selama scuba di Pulau Bidong, Terengganu. Kredit Photo UMT
Taeha menggambarkan aktiviti scuba menjadikan beliau seperti orang biasa yang lain yang mampu juga OKU seperti beliau lakukan "lepas dah training di ajar segala teknik, Alhamdullilah lagi semangat nak buat.. tak rasa pun diri ni lumpuh bila dalam air. Rasa normal je..paling best macam therapy badan ringan..." katanya yang berasal dari Banting, Selangor itu lagi.

Lanjutaan daripada latihan scuba ini, beliau bersama-sama rakan-rakan OKU yang lain dibawa berskuba di Pulau Bidong pada 18 dan 19 Oktober 2018 untuk mendapatkan lesen "open water scuba diving".
Memetik laporan daripada portal https://kampusuols.com, Taeha menceritakan “Bila dapat peluang ke Pulau Bidong, dengan kemahiran yang dipelajari di kelas selam skuba sebelum ini, saya buang semua ketakutan dalam diri seperti takut lemas dan sebagainya dan yakinkan diri bahawa saya mampu melakukannya.
Taeha bersama-sama pasukan Rehabilitasi PPUM yang turut menyertai aktiviti selam skuba di Pulau Bidong. Turut menyertai artis Fauziah Latif. Kredit Photo: Chua Siew Chien
“Alhamdulillah....semua sesi selaman dapat saya lakukan dengan baik dan berharap dapat lebih aktif dalam sukan selam skuba ini pada masa depan,”Semoga Taeha terus bersemangat menjalani kehidupan seharian sebagai seorang yang mengalami kecederaan saraf tunjang.

Friday, October 19, 2018

October 19, 2018

TIPS UMRAH BERKERUSI RODA ORANG YANG MENGALAMI KECEDERAAN SARAF TUNJANG


Orang yang mengalami kecederaan saraf tunjang (spinal cord injury-SCI) masih boleh menunaikan ibadah umrah di tanah suci Mekah. Namun ia memerlukan persediaan dari aspek emosi dan fizikal yang berbeza dari orang biasa yang lain. Persediaan rapi perlu dilakukan sebelum bertolak lagi agar ibadah umrah anda dapat dilakukan dengan tenang dan sempurna.

Kami kemukakan beberapa tips dan saranan umrah berkerusi roda SCI.

MEMILIH PAKEJ UMRAH


Memilih pakej umrah bagi OKU/berkerusi roda adalah sangat penting kerana pihak Travel akan menentukan penginapan dan penerbangan kita ke Tanah Suci. Pemilihan hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi amat penting kerana ia melibatkan pergerakan fizikal seseorang untuk mengayuh kerusi roda sendiri atau orang yang membantu kita.

Membawa ahli keluarga bersama dapat membantu urusan transfer dari bas ke kerusi roda
Seeloknya bawalah pembantu yang terdiri daripada ahli keluarga atau rakan-rakan yang mempunyai fizikal yang kuat bagi membantu urusan kita ketika menunaikan umrah. Ini kerana dalam beberapa keadaan kita tidak mampu menguruskan diri sendiri seperti ketika menaiki Bas yang memerlukan pertolongan orang untuk membantu mengendong kita ke atas bas kerana tiada kemudahan lift Bas yang disediakan. Bagi jemaah wanita pula perlu membawa mahram di samping membantu memudahkan urusan transfer diri ketika di sana. 


Penting juga untuk berbincang dengan pakej umrah sekiranya boleh menyediakan transport yang bersesuaian agar memudahkan perjalanan. Namun adalah dinasihatkan untuk menyediakan wang lebih bagi persediaan untuk membayar upah tertentu sekiranya perlu untuk melancarkan perjalanan ibadah umrah.

Pakej umrah pula berbeza antara satu sama lain. Semakin dekat dengan masjid, semakin mahal harganya. Begitu juga dengan pakej bilik. Pakej bilik 2 orang lebih mahal berbanding bilik bertiga, berempat dan seterusnya. Pilihlah pakej yang selesa berdasarkan kemampuan kewangan anda
.

PERSEDIAAN PERUBATAN DAN KESIHATAN


Sebelum berangkat ke tanah suci anda sudah sepatutnya menyiapkan diri dengan memakan vitamin C bagi memastikan tahap kesihatan yang baik dan imunisasi yang kuat semasa menjani ibadah kerana sekiranya anda menjalani ibadah umrah pada hujung tahun contohnya, cuaca adalah sejuk dan berangin. Memakan vitamin C ini berdasarkan pengalaman penulis membantu dari segi kesihatan yang lebih stabil semasa di tanah suci. 

Pastikan anda menjaga kesihatan sebelum bertolak dan menunaikan umrah. Perlunya membawa bekalan perubatan yang secukupnya untuk ke tanah suci. Dua atau tiga hari sebelum bertolak, pergilah berjumpa doktor anda untuk nasihat perubatan. Minta doktor anda keluarkan satu surat rujukan ubat-ubatan sekiranya anda memang bergantung kepada ubatan yang banyak. Rujukan ubat-ubatan ini sebagai persediaan di Imegresen Arab Saudi supaya tidak menyukarkan anda sekiranya disoal oleh mereka kerana membawa ubatan yang banyak.

Tandas OKU berada di luar Masjid, terdapat perkhidmatan lift untuk ke sana.

Di Masjidil Haram, tandas agak jauh dan berada diluar masjid. Sekiranya anda ingin ke tandas pada waktu kemuncak, sudah tentu ia akan menyukarkan anda. Tambahan pula sekiranya sudah keluar dari masjid, memang agak sukar untuk masuk kembali ke dalam masjid. 

Kebiasaaanya 15-30 minit sebelum waktu azan, pengawal keselamatan sudah tidak membenarkan anda masuk lagi ke dalam masjid di tingkat bawah. Anda perlu mencari kawasan di tingkat 2 atau tiga atau anda perlu bersolat diluar kawasan masjid. Oleh yang demikian, kami nasihatkan anda menggunakan beg CBD atau dapatkan nasihat perubatan rehabilitasi dari hospital anda. Di nasihatkan juga untuk merancang rutin harian tandas anda sebelum ke masjid bagj memastikan ibadah kita tenang tanpa sebarang gangguan. Tapi jangan risau in shaaAllah kalau kita niat untuk melaksanakan ibadah Allah akan jaga kita dan in shaaAllah tak perlu risau tentang ke tandas.

Satu bulan sebelum menunaikan umrah, anda boleh membuat latihan fizikal dahulu untuk ketahanan anda ketika di Tanah Suci. Umrah berkerusi roda memerlukan tenaga dan ketahanan fizikal yang secukupnya. Latihan kayuhan berkerusi roda sebelum berangkat boleh membantu meningkatkan ketahanan anda ketika di sana. 

Sekiranya anda tidak mempunyai kudrat untuk mengayuh sendiri atau ahli keluarga tidak dapat membantu, anda boleh sediakan wang untuk membayar upah menyorong atau menggunakan kerusi roda elektrik untuk melaksanakan tawaf. Perkara ini boleh dibincang bersama dengan agen travel anda bagi memudahkan ibadah.

PERSEDIAAN PENYELENGGARAAN KERUSI RODA


Penyelenggaraan kerusi roda sebelum umrah amat penting. Pastikan kerusi roda anda berada pada tahap yang baik. Ketatkan mana-mana bahagian yang longgar. Tukar tayar lama anda sekiranya sudah tiada bunga. Bawalah beberapa peralatan sampingan seperti portable pam angin, spanar kecil dan seumpamanya.

 DI LAPANGAN TERBANG
Membalut kerusi roda dapat mengurangkan risiko kerosakan ketika berada di kargo

Kerusi roda perlu dibalut dan dimasukkan ke dalam kargo ketika 'check-in'. Gunakan kemudahan kerusi roda airport untuk bergerak ke 'boarding area'. Ketika check-in juga, minta petugas kaunter berikan tempat duduk dalam pesawat berhampiran tandas untuk memudahkan urusan buang air. Pramugari akan bantu anda untuk urusan itu. Untuk mudahkan anda, dapatkan khidmat pembantu (Tukang Tolak) ketika check-in. Dia akan terus bawa anda ke 'boarding area' dan terus ke dalam kabin. Jika transit, umpamanya dari KL- Jeddah, penerbangan Emirates, pasti akan transit di Dubai. Jadi tunjukkan 'boarding pass' di pintu luar kabin, akan ada orang menunggu untuk membawa mereka terus ke 'boarding' berikutnya ( Dubai-Jeddah)

Bila mendarat di Jeddah atau Madinah, akan ada pembantu yang akan menolak kerusi roda sementara anda kerana kerusi roda yang betul masih berada di kargo. Anda juga boleh meminta tolong ahli keluarga atau rakan-rakan untuk menolak anda sekiranya tidak selesa dengan petugas kapal terbang. Tapi kebiasaanya ahli keluarga atau rakan-rakan akan membantu membawa bagasi kita. Jadi gunakanlah perkhidmatan pembantu yang disediakan.

Ada kalanya perjalanan umrah kita juga diuji kerana kita travel secara berjemaah maka pentingnya kita bersabar dengan karenah-karenah jemaah dan banyakkan berzikir bagi membantu kelancaran perjalanan. Pastikan anda sentiasa memegang Pasport, Boarding Pas dan tahu apa nama travel agen serta nombor talian pegawai perhubungan. Sekiranya anda tersesat anda boleh pergi ke kaunter pertanyaan untuk meminta bantuan. Selain itu perlu juga ingat nama hotel samada di Madinah atau Mekah bagi sebarang kemungkinan sekiranya apa-apa berlaku semasa di perjalanan.


Jangan terlalu ghairah untuk membeli belah semasa transit kerana ingat tujuan asal adalah untuk beribadah. Ada masanya penerbangan akan stranded maka duit lebih perlu untuk belanja makan minum atau apa-apa kontingensi.

KETIKA MELAKUKAN UMRAH
Untuk melakukan tawaf, saie dan tahalul, terdapat 3 pilihan. 

Pertama, upah tukang sorong ( Deal sendiri atau bantuan mutawwif) dengan harga sekitar SR200- SR300 untuk semua urusan itu. Dia akan ambil anda di hotel, terus tawaf dan saie ‘ serta tahallul dan dihantar semula ke hotel. Anda boleh umrah ikut jemaah lain. 

Pilihan kedua, pengiring anda samaada ahli keluarga atau rakan-rakan membantu menolak kerusi roda anda. Perlu diingatkan, mereka juga perlukan tenaga dua kali ganda sekiranya menolak anda, tenaga mereka sendiri untuk bergerak dan tenaga untuk menolak kerusi roda anda. Bagi yang menggunakan kerusi roda manual, anda boleh bergilir-gilir tolak sendiri dan sekiranya letih, minta bantuan pengiring.

Pilihan ketiga, anda menolak sendiri dari tawaf, saie’ dan tahallul. Dari hotel ke Masjidil Haram kembali ke hotel semula. Di sini cabaran amat besar kerana laluan ke Masjidil Haram biasanya sesak. Memerlukan ketabahan mental dan fizikal. Untuk satu pusingan tawaf di tingkat atas adalah sekitar 1 KM dengan anggaran 10-15 minit setiap pusingan bergantung kepada kelajuan anda menolak dan kesesakan jemaah. 7 pusingan bersamaan 7 km untuk tawaf sahaja. Masa diperlukan untuk satu sesi tawaf 1 jam lebih. Tidak termasuk saie’ lagi 7 kali ulang alik Safa-marwah keselurahnnya sekitar 3.5 KM. Jadi, untuk satu sesi umrah berkeseluruhan 10KM lebih.

Oleh yang demikian, rancang perjalanan dan jimatkan tenaga anda atau pengiring. Kesihatan fizikal amat penting untuk anda juga pengiring. Sekiranya anda demam atau letih pada hari-hari pertama anda umrah, sudah pasti ia akan menjejaskan pergerakan untuk baki-baki hari anda di sana.

BAGAIMANA INGIN KE MASJID


Untuk solat 5 waktu, seeloknya pergi 1 jam sebelum setiap waktu solat untuk elak kesesakan. Anda boleh solat di tingkat atas masjid, di ruang dalam masjid kecuali lantai tawaf. Ada polis yang menjaga dan tidak membenarkan kerusi roda solat sekitar situ. Namun, kadang-kadang ada juga kita melihat yang berkerusi roda berada di lantai tawaf. Itu rezeki masing-masing.

Kawasan Saie di tingkat atas agak kurang sesak berbanding di tingkat bawah

Namun dari aspek keselamatan lebih baik berada di tingkat atas kerana kebiasaaanya di lantai tawaf terlalu ramai orang dan berlakunya kesesakan. Biasanya hari Jumaat adalah hari cuti dan hujung minggu akan berlaku kesesakan semasa tawaf kerana semua orang akan mengambil kesempatan ini dari seluruh tempat untuk melaksanakan umrah. 

Adalah dinasihatkan bagi mereka yang ingin beriktikaf di masjid untuk mengelak kesesakan pergi ke masjid seawal jam 3.30 pagi dan meneruskan ibadah-ibadah sunat yang lain sehingga subuh. 

Sebelum ke masjid, selesaikan urusan rutin kumbahan kencing dan buang air besar terlebih dahulu supaya tidaklah nanti terpaksa bergegas ke tandas di masjid. Tambahan pula orang ramai. Jadi kurangkan minum air sebelum ke masjid. Sepertimana di sebutkan di atas, tandas berada di luar masjid dan sedikit jauh.

Perlu diingatkan, ukur kekuatan dan ketahanan anda. Tidak semestinya setiap waktu anda ke masjid. Kita perlukan tenaga yang berterusan untuk tempoh 10-14 hari di tanah suci. Boleh rehat di hotel pada waktu Zohor, pergi pada waktu Asar dan terus maraton hingga ke Isya’. Atau rehat Zohor Asar. Pergi Maghrib dan Isya. Faktor jarak antara hotel ke masjid juga perlu di ukur. Memang kita datang untuk beribadah, tetapi kesihatan juga wajib di jaga.

Bawalah sedikit makanan (buah-buahan, kurma, kekacang) serta minuman dalam beg kecil anda. Jika teras anda lapar, boleh mengunyah tanpa perlu keluar masjid untuk membeli makanan.

BERAPA KALI UMRAH MEREKA PERLU BUAT

Memadai sekali sahaja. Namun bergantung kepada kekuatan dan stamina anda. Perlu diingatkan 10-14 hari di sana, memerlukan tenaga yang banyak di samping keadaan kesesakan jemaah yang berterusan. Namun, sekiranya untuk umrah kali ke-2 atau ketiga, ulang proses seperti biasa. 

Sekiranya tidak mahu lagi melakukan umrah kedua atau ketiga, lebihkan amalan yang tidak memerlukan tenaga yang banyak seperti tawaf sunat, beriktikaf di masjid, solat sunat tawaf, berdoa, membaca qur’an dan seumpamanya. Itu lebih baik untuk kita.

KETIKA ZIARAH


Anda boleh mengikuti rombongan jemaah lain untuk melakukan ziarah luar sama ada Makkah atau Madinah. Cuma ia memerlukan sedikit masa. Kerusi roda anda boleh dibawa naik ke dalam bas atau ke 'perut bas'. Ketika menaiki bas, anda memerlukan orang untuk mengendong dan memimpin ke dalam bas. Minta jasa baik jemaah-jemaah lain untuk membantu anda ke dalam bas.


Ada lokasi yang perlu anda turun dan ada yang cukup dengan menunggu di dalam bas sahaja. Tidaklah setiap tempat anda perlu turun. Kalau Ziarah Makkah, ketika Jabal Nur dan Jabal Thur, termasuk di Arafah memadai dengan melihat di dalam bas tanpa perlu turun.

CUACA


Cuaca di Mekah agak berbeza di Malaysia. Kebiasaanya bergantung pada musim umrah anda pergi. Suhu sekitar 30 hingga 40 lebih. Adakalanya mencecah sehingga 50. Bergantung pada bulan anda pergi kesana.


Di Madinah pula, sekiranya musim sejuk, suhu boleh jatuh ke bawah 15 darjah. Sejuknya agak berbeza walaupun pada suhu 15 kerana ia sejuk padang pasir. Jadi bawalah persediaan baju yang secukupnya. Bawa juga mask untuk mengelakkan batuk-batuk dan habuk pasir yang boleh menjejaskan kesihatan.

ASPEK EMOSI DAN MOTIVASI

Elakkan dari merungut atau mengeluh tentang keadaan di sana. Beribadahlah dengan hati yang tenang dan bersyukur kerana di pilih sebagai tetamu Allah untuk menunaikan umrah. Perbanyakkan istighfar dan doa agar dipermudahkan segala urusan.

Peluang menunaikan umrah merupakan suatu motivasi diri di mana semua orang boleh melakukan umrah termasuk OKU berkerusi roda seperti kita. Ia juga sebagai suatu persediaan sekiranya anda dijemput pula menunaikan ibadah haji, jadi sudah ada gambaran dan persediaan untuk rukun ibadah yang kelima. Cuma beberapa aspek lain sedikit berbeza seperti wukuf di arafah, bermalam di mina, dan melontar.

Tips ini dikutip dan diolah semula berdasarkan pengalaman peribadi umrah SCI serta beberapa catatan mutawwif yang pernah menguruskan orang berkerusi roda ke Mekah. Anda boleh komen dan tambah maklumat sekiranya ada beberapa tips lain yang dirasakan perlu.


Kredit:
1) Azizul Asri Ahmad Tajuddin (SUFFAH TRAVEL & TOURS SDN BHD)
2) Basri Husin (OKU Berkerusi Roda - Spinal Cord Injury)
3) Hamidah Hassan (OKU Berkerusi Roda - Spinal Cord Injury)
4) Ayen Razali (OKU Berkerusi Roda - Spinal Cord Injury)

Semoga tips ini serba sedikt membantu anda menunaikan ibadah umrah anda!

Wednesday, October 10, 2018

October 10, 2018

DISKAUN GRABCAR UNTUK OKU


Tahukah anda bahawa perkhidmatan E-Hailing Grab Car ada menawarkan diskaun untuk pengguna OKU sekiranya menggunakan perhidmatan mereka? 

GRABCAR melalui SUPERHEROES PROGRAMME telah melancarkan inisiatif ini sejak 2016 lagi dengan memberi kemudahan diskaun sebanyak RM3 setiap kali penggunaan kepada OKU.

Melalui program ini  terdapat beberapa kelebihan OKU yang menggunakan perkhidmatan Grab Car melalui SUPERHEROES PROGRAMME ini iaitu;
• Nilai diskaun adalah sebanyak RM 3 X 20 penggunaan setiap bulan. (Value of discount is RM3 x 20 rides per-month.)
• Promosi ini akan diperbaharui secara automatik bagi setiap bulan. (Promotion will auto renew at the start of the month.)
• Promosi ini sah melalui  tempahan yang dibuat secara tunai dan Kad kredit/debit untuk semua jenis perkhidmatan Grab. (Promotion is valid for bookings made via cash and credit/debit card for allGrab Rides.)
• Sekiranya pengguna ingin menggunakan mana-mana promocode lain, promocode baru akan menggantikan diskaun ini. (If passenger decides to use any other promocode, the new promocode will supersede this discount.)

Caranya adalah dengan mendaftar pada melalui link laman web ini https://www.grab.com/my/blog/grabsuperheroes-programme/

Bahkan SUPERHEROES PROGRAMME ini juga boleh digunakan oleh Warga Emas yang berumur 60 tahun ke atas. Cumanya perkhidmatan ini hanya terhad disekitar Lembah Klang sahaja.

Sunday, October 7, 2018

October 07, 2018

BERILAH KEUTAMAAN PADA YANG MEMERLUKAN

Setiap kali apabila seorang individu OKU  berada di lingkungan orang ramai terutama dalam perjalanan, seringkali laluan akan di'block' atau dipotong oleh orang yang 'bukan kurang upaya'. Sewenang-wenangnya walaupun pengguna kerusi roda atau kategori oku yang lain akan dipintas dan dibelakangkan. Walaupun mereka yang lebih awal sampai.

Mentaliti atau sikap ini patut diubah, anda boleh melakukannya. Berilah ruang prioriti kepada pengguna kerusi roda atau oku yang lain terlebih dahulu, warga emas, kanak-kanak atau ibu mengandung agar mereka boleh menikmati kemudahan perkhidmatan awam dengan lebih selesa.

Kredit gambar : Azari Mat Yasir

Monday, October 1, 2018

October 01, 2018

TANDAS OKU: KEPERLUAN DAN REKA BENTUK

Tandas OKU direka dan dibina untuk Orang yang Kurang Upaya terutamanya OKU fizikal disebabkan mereka mempunyai limitasi pergerakan dan memerlukan ruang yang besar di dalam tandas. OKU yang menggunakan kerusi roda, yang menggunakan tongkat dan seumpamanya sudah pastilah agak sukar bagi mereka menggunakan tandas biasa kerana rekabentuk tandas biasa agak sempit serta tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan keselesaan untuk OKU.
Berbeza dengan tandas biasa, kebiasaannya tandas OKU direka khas dengan ruang yang agak besar serta dilengkapi dengan beberapa binaan tambahan seperti grab bar, hand railing, penggera keselamatan dan lain-lain lagi. Ciri-ciri tambahan ini adalah memudahkan OKU fizikal untuk pemindahan dari tempat duduk ke ruang mangkuk tandas. Manakala grab bar pula sebagai bantuan untuk yang mempunyai kesukaran bangun dengan sendiri dari mangkuk tandas dan seumpamanya.
Ruang yang agak besar untuk tandas OKU penting agar pergerakan OKU menjadi mudah dan tidak terhalang oleh sinki, mangkuk tandas dan seumpamanya. Adakalanya penjaga OKU membantu di dalam tandas agar mereka dapat menggunakan fasiliti ini
MS1184:2014 Universal design and accessibility in the built environment - Code of practice
Di Malaysia, Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan MS1184:2014 Universal design and accessibility in the built environment - Code of practice sebagai panduan bagi memastika semua bangunan yang boleh diakses oleh orang awam dilengkapi dengan kemudahan akses bagi semua golongan masyarakat termasuk OKU.
Secara khususnya untuk tandas OKU, beberapa panduan telah ditetapkan dengan ciri khusus agar menepati piawaian reka bentuk sejagat (universal design).
Antara ciri tersebut adalah"
1) Pintu tandas harus dibuka ke arah luar, dengan lebar tanpa halangan minimum 800 mm.
Jika pintu dibuka ke arah dalam,maka hendaklah ada satu cara untuk membuka pintu atau
mengeluarkannya dari luar.

Adalah disyorkan untuk menggunakan pintu gelongsor. Kunci
pintu yang mudah dibuka dari luar jika berlaku kecemasan dan mudah digunakan oleh pengguna OKU. (Klausa 25.2 (c): Ms. 87 & Klausa 25.5: m/s 96)

2) Lantai tidak licin. (Klausa 25.3, m/s 87)
3) Tandas awam mempunyai ruang yang minimum 1700mm x 2200mm (P x L) untuk pengguna kerusi roda keluar dan masuk. (Klausa 25.4.1, m/s 89)
4) Keperluan bagi mangkuk tandas:
     a) Mangkuk tandas bercirikan spesifikasi OKU (ketinggian 400mm-480mm, jenis, warna, simbol) dan berada dalam keadaan selesa untuk pengguna kerusi roda;
     b) Jarak minimum dari tepi tempat duduk tandas ke dinding
belakang adalah antara 650 mm dan 800 mm;
     c) Jarak minimum sudut mangkuk tandas ke dinding bersebelahan hendaklah 250 mm (rujuk Figure 58). Jarak minimum dari garis tengah sudut tandas ke dinding bersebelahan hendaklah 450 mm. (Klausa 25.6: m/s 96)

5) Rel Pemegang (Grab Rails) di kedua- dua sisi (sama ada drop-down atau tetap ke dinding) hendaklah disediakan pada jarak antara 300 mm hingga 350 mm dari mangkuk tandas.
Jarak minimum dari dinding hendaklah 40 mm.

6) Jika dinding di tepi tandas, rel pemegang mendatar hendaklah disediakan pada ketinggian 200 mm hingga 300 mm di atas tempat mangkuk tandas, dan rel pemegang menegak dipasang pada ketinggian 1700 mm dari lantai. (Klausa 25.7: m/s 98)
Oleh yang demikian, piawaian dan ciri khusus tandas OKU ini di reka khas kerana berdasarkan keperluan dan keupayaan khas golongan OKU khususnya yang OKU fizikal yang mempunyai limitasi pergerakan yang berbeza dengan orang lain. Pentingnya tandas ini tidak disalahgunakan oleh masyarakat awam sebagai menghormati hak-hak dan keperluan OKU sebagaimana yang termaktub dalam Akta OKU 2008 dan undang-undang Malaysia