Showing posts with label Advocacy. Show all posts
Showing posts with label Advocacy. Show all posts

Thursday, May 30, 2019

May 30, 2019

HORMATI KEMUDAHAN OKU DI MUSIM PERAYAAN


Minggu ini rata-rata warga kota akan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ada yang pulang ke Utara, ada yang menuju Pantai Timur dan ada juga yang ke Selatan.

Setiap kali musim perayaan sebegini, sudah pasti jalan-jalan utama dan Lebuhraya akan mengalami kesesakan luar biasa kerana rata-rata warga Malaysia akan keluar pada waktu yang hampir sama.


Dua atau tiga hari sebelum dan selepas raya merupakan waktu kemuncak penggunaan jalan raya di Malaysia bagi yang menyambut hari raya Aidilfitri.

Dalam situasi ini, pengguna jalan raya sudah pasti daripada pelbagai jenis latar belakang. Ada yang berpasangan, ada yang berkeluarga, warga emas dan tidak kurang juga dari kalangan Orang Kurang Upaya.

Oleh itu, sudah pasti RnR merupakan antara lokasi dan tumpuan utama pengguna jalan raya berhenti bagi merehatkan jiwa dan  fizikal untuk perjalanan yang jauh.

Bagi pemandu OKU, sudah pasti RnR menjadi tempat penting untuk mereka beristirehat di pertengahan jalan. Meregangkan badan dan beberapa otot adalah penting untuk kelangsungan kesihatan bagi jangka masa yang lama.

Namun begitu, kemudahan OKU di RnR seringkali disalahgunakan oleh orang yang sempurna indera. Parkir OKU, tandas OKU, ramp dan laluan pejalan kaki merupakan antara kemudahan yang sering diceroboh oleh rata-rata manusia yang pentingkan diri sendiri semata-mata.

Atas alasan “sekejap sahaja” atau “tidak ada orang guna, lebih baik aku guna” menunjukkan golongan ini hanya mementingkan diri masing-masing. Selain itu alasan lain  diberikan termasuklah parkir penuh kecuali petak khas untuk OKU saja yang kosong atau tiada golongan itu ketika mereka sampai di situ.

Ada yang enggan mengalah bahkan pula ada yang marah dan sanggup bergaduh kalau ada insan yang prihatin menegur. Tak kurang yang naik angin kalau ada yang memviralkan penyalahgunaan kemudahan ini di media sosial. Malu dan jatuh air muka kerana diviralkan hatta ada yang sanggup ingin mengambil tindakan undang-undang saman malu. Padahal mereka tidak rasa malu dan bersalah ketika mahu menceroboh kemudahan OKU.

Tuan-tuan tahu kepada kemudahan tersebut direka sebegitu?


Sebenarnya ada beberapa keperluan khas kenapa parking OKU bersaiz agak besar dan berdekatan dengan bangunan. Sebabnya ialah bagi memudahkan pemandu/penumpang menurunkan kerusi roda mereka. Bagi pemandu kerusi roda yang berdikari, mereka mampu menurunkan kerusi roda sendiri kerana sudah dilatih dan sudah biasa buat secara sendirian. Apa yang diperlukan adalah sedikit ruang parking agar pintu kereta dapat dibuka dengan kadar yang cukup.


Sementara tandas OKU direka dengan saiz yang sedikit besar dan dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti grab bar dan seumpamanya. Ruang tandas yang besar adalah memudahkan kerusi roda “maneuver” dan bergerak secara efektif. Manakala fungsi grab bar / flip grab bar bertujuan untuk berpaut dan pindah ke mangkuk tandas atau seumpamannya.  OKU agak sukar untuk masuk ke tandas yang biasa kerana rekabentuk tandas tersebut tidak sesuai untuk mereka terutama yang berkerusi roda.


Manakala ramp dan laluan pejalan kaki pula dibina adalah sebagai laluan utama bagj kerusi roda kerana pengguna kerusi roda  tidak dapat melalui kawasan bertangga dan bertebing. Jadi jangan pula ada motorsikal yang menghalangi laluan tersebut.

Oleh yang demikian, diharapkan pengguna jalan raya yang berhenti mana-mana RnR tidak menyalahgunakan kemudahan utama ini. Keperluan ini dibina untuk orang yang betul-betul memerlukan kerana cabaran fizikal mereka berbeza dari anda semua yang sempurna.

Jadilah pengguna jalan raya yang berhemah ketika pulang pada hari raya ini dan berhemah juga sampai bila-bila. Janganlah mementingkan diri sendiri semata-mata.

Kongsikan artikel ini demi keprihatinan dan tanggungjawab anda sebagai masyarakat Malaysia 🇲🇾 yang penyayang.

Salam Aidilfitri buat semua.

Malaysian Spinal Cord Injury Advocacy Association (MASAA) 

Friday, December 28, 2018

December 28, 2018

#TindanChallenge MENGUNDANG RISIKO LUMPUH SEUMUR HIDUP

Cabaran #TindanChallenge begitu ghairah dilakukan oleh para netizen selepas viral satu gambar di internet oleh sekumpulan pemuda dari luar negara yang mengambil gambar secara "menindih" antara satu sama lain dari bawah ke atas.

Namun begitu, tahukah anda bahawa aksi sebegini boleh mengundang beberapa risiko kesihatan. Antara risiko terbesar adalah "LUMPUH SEUMUR HIDUP" akibat daripada kecederaan tulang belakang atau kecederaan dalaman pada saraf tunjang.

PUBLIC HEALTH MALAYSIA berkongsikan tentang risiko aksi sebegini.


NGERI!

Itu reaksi seorang doktor pakar rehabilisasi apabila melihat gambar #TindanChallenge di kongsi baru baru ini.

Ibu bapa sekalian, kanak kanak masih lagi di fasa tumbesaran, tulang dan otot mereka masih lagi berkembang, rapuh dan mudah cedera.

Bebanan di bahagian tulang belakang dan tengkuk menyebabkan mereka berisiko untuk mendapat kecederaan tulang belakang dan kecederaan saraf tunjang.

Kecederaan ini juga sering berlaku apabila kanak kanak terjatuh dari tempat tinggi.

Komplikasi dari kecederaan tulang belakang menyebabkan risiko lumpuh seumur hidup. Berbaloikah mengejar gambar viral sehingga sanggup mempertaruhkan keselamatan anak anak?

FAKTA MENGENAI KECEDERAAN TULANG BELAKANG DIKALANGAN KANAK KANAK

✅ Kemalangan dan JATUH merupakan antara punca utama kecederaan tulang belakang di kalangan kanak kanak.
✅ 20% kecederaan saraf tunjang dan tulang belakang berlaku kepada REMAJA & KANAK KANAK.
✅ Insiden untuk menjadi kacacatan tulang bengkok (skoliosis) akan meningkat 90% sekiranya seseorang mengalami kecederaan semasa kanak kanak.
✅ Kanak kanak lebih berisiko untuk LUMPUH sekiranya alami kecederaan tulang belakang.
✅ KOMPLIKASI bagi kanak kanak dan remaja yang mengalami kecederaan tulang belakang adalah lebih tinggi.
.

Ibu bapa, sila ambil perhatian akan perkongsian ini, janganlah terlalu galak mengejar “like” dan “Viral” sehingga sanggup membiarkan anak anak membuat formasi merbahaya  seperti ini.

Kecederaan tulang belakang bukan main main, ketika itu air mata darah sekalipun tidak akan menebus ribuan like yang anda terima 🙏🏻🙏🏻

Katakan TIDAK untuk #TindanChallenge


Sumber: Public Health Malaysia

Friday, December 7, 2018

December 07, 2018

MALAYSIA HARMONI - KHUTBAH 7 DISEMBER 2018 (JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH-JAWI)


MALAYSIA HARMONI

Penubuhan sesebuah daulah atau negara adalah untuk menguruskan kehidupan dan menjaga keselamatan rakyatnya. Rakyat yang bersatu padu dan patuh kepada undang-undang serta mengamalkan prinsip saling hormat-menghormati akan mewujudkan keharmonian dalam negara.

Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum, agama, budaya, dan politik, pastinya menghadapi cabaran dalam mengekalkan kestabilan dan keharmonian. Lantaran itu, gagasan rahmatan lil-’alamin sentiasa menekankan aspek perpaduan rakyat yang pelbagai kaum melalui pemantapan ilmu berkaitan fiqh setempat.

Perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dilihat semakin renggang, rapuh dan 
boleh menjadi ancaman besar kepada keharmonian serta kesejahteraan negara. Negara yang bergolak dan tidak stabil akan mendatangkan keburukan dan kemudaratan. Justeru, menolak kemudaratan itu merupakan suatu kewajipan dalam islam sepertimana hadith Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Ibnu ‘Abbas (RA), Rasulullah S.A.W bersabda :

لَا ضَرَر لَا َ و َ ضِرَار

Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak memudaratkan”.

Justeru, prinsip ilmu fiqh setempat yang meletakkan sesuatu hukum berdasarkan waqi’ atau keadaan semasa amatlah penting dan utama. Perubahan dan perbezaan keadaan akan menghasilkan perbezaan fatwa dan pandangan. Inilah ciri syariat islam yang objektif, realistik dan dinamik serta sentiasa menitik beratkan maslahah ummat.

Kefahaman ini juga tampil dengan sifat kesederhanaan dan keadilan berdasarkan realiti kehidupan manusia sejagat. Kesederhanaan bermaksud kita menolak ketaksuban dalam beragama, bermazhab dan berpolitik. Keadilan pula bererti pemerintah melaksanakan tanggungjawab dan menyempurkan hak rakyat. Setiap rakyat juga mempunyai tanggungjawab dan peranan yang sama kepada negara dengan memelihara dan mempertahankan perlembagaan.

Dalam usaha membentuk negara Malaysia yang harmoni, kerangka pemikiran dalam ilmu fiqh khususnya pada perkara yang bersifat kontemporari perlu diperluaskan. Ijtihad para ulama dan fatwa dan para mufti mengambil kira budaya dan amalan setempat seterusnya diletakkan pada landasan yang betul mengikut Maqasid Syariah. Para agamawan tidak boleh sewenang-wenangnya menyebarkan fatwa dari negara dan budaya lain untuk diterapkan dalam kerangka tempatan kerana ia boleh menyebabkan salah faham dalam masyarakat. Antara ciri manhaj fiqh setempat yang wajar dilaksanakan mestilah sentiasa dinamik dan terkini, tidak kaku membeku sesuai dengan peredaran zaman dan kemaslahatan rakyat Malaysia.

Bagi memastikan perlaksanaan perubahan gagasan ini berjalan lancar dan perbadu ke arah Malaysia yang lebih harmoni, elemen kefahaman, kesedaran serta kebijaksanaan semua pihak terhadap konsep perubahan yang di bawa amat penting. Gandingan mantap antara ulama dan pemerintah perlu seiring dalam mencerna kesepaduan ilmu. Ulama sebagai tempat rujukan rakyat, sementara pemerintah pula mampu mengendalikan urusan rakyat secara cekap, amanah dan berhemah.

Bagi rakyat, minda mereka mestilah betul-betul bersedia untuk menerima perubahan itu. Kejayaan sebenar tidak akan dicapai jika pemerintah dan rakyat masih gagal memahami konsep perubahan itu sendiri. Bagi mencapai keseimbangan, para ulama mestilah menjiwai perlembagaan persektutuan, sistem raja berperlembagaan, proses demokrasi berparlimen dan kepelbagaian kebudayaan yang membentuk Malaysia hari ini. Antaranya saling menghormati hak dan kebebasan mengamalkan ajaran agama, kesedaran tentang kepercayaan orang lain, tiada keganasan, toleransi beragama dan lain-lain yang berkaitan.

Terdapat tiga elemen utama dalam konteks dalam negara Malaysia iaitu Islam, nilai kebersamaan dan sistem bernegara yang berupaya melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni. Asasnya ialah ia mestilah kembali kepada kefahaman terhadap nilai agama dan bangsa yang boleh dicapai melalui pengetahuan tentang hak dan tanggungjawab sebagai seorang warganegara, disiplin dan beretika dalam menghayati nilai kebersamaan dan contoh tauladan kepimpinan serta pematuhan kepada sistem negara bangsa berasaskan kepada perpaduan nasional.

Sesungguhnya menangani kepelbagaian memerlukan sikap keterbukaan yang berprinsip antara semua pihak, samaada sebagai pemimpin, ulama, bahkan masyarakat umum di negara ini. Menyantuni mereka yang bukan Muslim tidak bermaksud mengiktiraf semua perlakuan yang salah tetapi berusaha untuk memperbetul dan memperbaikinya mengikut lunas-lunas syariat.

Oleh itu, untuk memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada negara, maka pentadbiran Islam itu mestilah bersifat berdaya saing dan tidak diperlekekhakn oleh rakyatnya sendiri. Semuanya boleh dicapai sekiranya kita betul-betul memahami konsep Maqasid al-Syari’ah.

Islam sememangnya sentiasa memelihara hak-hak asasi semua manusia. Dalam hal ini, mimbar mengambil kesempatan sempena dengan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia untuk mengingatkan para jemaah sekalian, sama-samalah kita melakukan perubahan terutama dalam aspek memantapkan fasiliti Orang Kurang Upaya di negara ini. Ini termasuklah kemudahan-kemudahan ibadat untuk mereka di masjid dan surau-surau supaya lebih inklusif dan mesra OKU. Golongan orang kurang upaya sangat memerlukan bantuan dalam urusan kehidupan mereka sehari-harian. Mereka berhak untuk dilayan dengan baik dan dihormati. Inilah ajaran Islam. Rasulullah S.A.W pernah memberi tauladan yang baik bagaimana membantu golongan sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud (Rahimahullah) daripada Jabir bin Abdullah (RA) yang bermaksud:

“Rasulullah S.A.W berada dibelakang ketika dalam perjalanan, Baginda memimpin orang yang lemah, membonceng serta menyeru orang lain membantu mereka”.

Kesimpulan yang dapat di ambil daripada khutbah pada hari ini ialah:

Pertama: Fahami konsep fiqh setempat dalam berinteraksi dengan Non-Muslim secara lebih toleransi, realistik dan santun berdasarkan kerangka agama.

Kedua: Melalui konsep fiqh setempat ini Syariat Islam dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta keadilan dan kecantikan Islam dapat ditonjolkan.

Ketiga: Memahami waqi’ atau realiti suasana setempat adalah sangat penting dalam menentukan sesuatu hukum islam yang bersifat realistik dan sesuatu dengan semua tempat dan zaman.

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Tawbah ayat 6 yang bermaksud:

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).”


Wednesday, October 10, 2018

October 10, 2018

DISKAUN GRABCAR UNTUK OKU


Tahukah anda bahawa perkhidmatan E-Hailing Grab Car ada menawarkan diskaun untuk pengguna OKU sekiranya menggunakan perhidmatan mereka? 

GRABCAR melalui SUPERHEROES PROGRAMME telah melancarkan inisiatif ini sejak 2016 lagi dengan memberi kemudahan diskaun sebanyak RM3 setiap kali penggunaan kepada OKU.

Melalui program ini  terdapat beberapa kelebihan OKU yang menggunakan perkhidmatan Grab Car melalui SUPERHEROES PROGRAMME ini iaitu;
• Nilai diskaun adalah sebanyak RM 3 X 20 penggunaan setiap bulan. (Value of discount is RM3 x 20 rides per-month.)
• Promosi ini akan diperbaharui secara automatik bagi setiap bulan. (Promotion will auto renew at the start of the month.)
• Promosi ini sah melalui  tempahan yang dibuat secara tunai dan Kad kredit/debit untuk semua jenis perkhidmatan Grab. (Promotion is valid for bookings made via cash and credit/debit card for allGrab Rides.)
• Sekiranya pengguna ingin menggunakan mana-mana promocode lain, promocode baru akan menggantikan diskaun ini. (If passenger decides to use any other promocode, the new promocode will supersede this discount.)

Caranya adalah dengan mendaftar pada melalui link laman web ini https://www.grab.com/my/blog/grabsuperheroes-programme/

Bahkan SUPERHEROES PROGRAMME ini juga boleh digunakan oleh Warga Emas yang berumur 60 tahun ke atas. Cumanya perkhidmatan ini hanya terhad disekitar Lembah Klang sahaja.

Sunday, October 7, 2018

October 07, 2018

BERILAH KEUTAMAAN PADA YANG MEMERLUKAN

Setiap kali apabila seorang individu OKU  berada di lingkungan orang ramai terutama dalam perjalanan, seringkali laluan akan di'block' atau dipotong oleh orang yang 'bukan kurang upaya'. Sewenang-wenangnya walaupun pengguna kerusi roda atau kategori oku yang lain akan dipintas dan dibelakangkan. Walaupun mereka yang lebih awal sampai.

Mentaliti atau sikap ini patut diubah, anda boleh melakukannya. Berilah ruang prioriti kepada pengguna kerusi roda atau oku yang lain terlebih dahulu, warga emas, kanak-kanak atau ibu mengandung agar mereka boleh menikmati kemudahan perkhidmatan awam dengan lebih selesa.

Kredit gambar : Azari Mat Yasir

Monday, October 1, 2018

October 01, 2018

TANDAS OKU: KEPERLUAN DAN REKA BENTUK

Tandas OKU direka dan dibina untuk Orang yang Kurang Upaya terutamanya OKU fizikal disebabkan mereka mempunyai limitasi pergerakan dan memerlukan ruang yang besar di dalam tandas. OKU yang menggunakan kerusi roda, yang menggunakan tongkat dan seumpamanya sudah pastilah agak sukar bagi mereka menggunakan tandas biasa kerana rekabentuk tandas biasa agak sempit serta tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan keselesaan untuk OKU.
Berbeza dengan tandas biasa, kebiasaannya tandas OKU direka khas dengan ruang yang agak besar serta dilengkapi dengan beberapa binaan tambahan seperti grab bar, hand railing, penggera keselamatan dan lain-lain lagi. Ciri-ciri tambahan ini adalah memudahkan OKU fizikal untuk pemindahan dari tempat duduk ke ruang mangkuk tandas. Manakala grab bar pula sebagai bantuan untuk yang mempunyai kesukaran bangun dengan sendiri dari mangkuk tandas dan seumpamanya.
Ruang yang agak besar untuk tandas OKU penting agar pergerakan OKU menjadi mudah dan tidak terhalang oleh sinki, mangkuk tandas dan seumpamanya. Adakalanya penjaga OKU membantu di dalam tandas agar mereka dapat menggunakan fasiliti ini
MS1184:2014 Universal design and accessibility in the built environment - Code of practice
Di Malaysia, Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan MS1184:2014 Universal design and accessibility in the built environment - Code of practice sebagai panduan bagi memastika semua bangunan yang boleh diakses oleh orang awam dilengkapi dengan kemudahan akses bagi semua golongan masyarakat termasuk OKU.
Secara khususnya untuk tandas OKU, beberapa panduan telah ditetapkan dengan ciri khusus agar menepati piawaian reka bentuk sejagat (universal design).
Antara ciri tersebut adalah"
1) Pintu tandas harus dibuka ke arah luar, dengan lebar tanpa halangan minimum 800 mm.
Jika pintu dibuka ke arah dalam,maka hendaklah ada satu cara untuk membuka pintu atau
mengeluarkannya dari luar.

Adalah disyorkan untuk menggunakan pintu gelongsor. Kunci
pintu yang mudah dibuka dari luar jika berlaku kecemasan dan mudah digunakan oleh pengguna OKU. (Klausa 25.2 (c): Ms. 87 & Klausa 25.5: m/s 96)

2) Lantai tidak licin. (Klausa 25.3, m/s 87)
3) Tandas awam mempunyai ruang yang minimum 1700mm x 2200mm (P x L) untuk pengguna kerusi roda keluar dan masuk. (Klausa 25.4.1, m/s 89)
4) Keperluan bagi mangkuk tandas:
     a) Mangkuk tandas bercirikan spesifikasi OKU (ketinggian 400mm-480mm, jenis, warna, simbol) dan berada dalam keadaan selesa untuk pengguna kerusi roda;
     b) Jarak minimum dari tepi tempat duduk tandas ke dinding
belakang adalah antara 650 mm dan 800 mm;
     c) Jarak minimum sudut mangkuk tandas ke dinding bersebelahan hendaklah 250 mm (rujuk Figure 58). Jarak minimum dari garis tengah sudut tandas ke dinding bersebelahan hendaklah 450 mm. (Klausa 25.6: m/s 96)

5) Rel Pemegang (Grab Rails) di kedua- dua sisi (sama ada drop-down atau tetap ke dinding) hendaklah disediakan pada jarak antara 300 mm hingga 350 mm dari mangkuk tandas.
Jarak minimum dari dinding hendaklah 40 mm.

6) Jika dinding di tepi tandas, rel pemegang mendatar hendaklah disediakan pada ketinggian 200 mm hingga 300 mm di atas tempat mangkuk tandas, dan rel pemegang menegak dipasang pada ketinggian 1700 mm dari lantai. (Klausa 25.7: m/s 98)
Oleh yang demikian, piawaian dan ciri khusus tandas OKU ini di reka khas kerana berdasarkan keperluan dan keupayaan khas golongan OKU khususnya yang OKU fizikal yang mempunyai limitasi pergerakan yang berbeza dengan orang lain. Pentingnya tandas ini tidak disalahgunakan oleh masyarakat awam sebagai menghormati hak-hak dan keperluan OKU sebagaimana yang termaktub dalam Akta OKU 2008 dan undang-undang Malaysia